PENAMPANG: Dua lelaki masing-masing berusia 21 dan 17 tahun maut manakala lima yang lain cedera parah dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motokar dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di persimpangan lampu isyarat Sabindo, Jalan Kota Kinabalu–Papar, kira-kira jam 4 pagi tadi.
Kesemua mangsa yang terlibat berjumlah tujuh orang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motokar yang dipandu seorang lelaki bersama empat penumpang memasuki persimpangan lampu isyarat sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang sedang bergerak lurus,” katanya.
Beliau menambah, pemandu motokar serta beberapa penumpang lain mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di hospital.
Pemandu 4WD berusia 36 tahun tidak mengalami kecederaan serius, manakala penumpang wanitanya berusia 27 tahun turut menerima rawatan.
Operasi menyelamat yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan polis, APM dan KKM memastikan semua mangsa selamat dibawa ke hospital.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Polis menasihatkan orang ramai mematuhi peraturan lalu lintas dan tampil membantu siasatan jika mempunyai maklumat.






