Elak Pendakap Gigi Palsu, Sabah Rekod Dua Kes Pada 2022

Elak Pendakap Gigi Palsu, Sabah Rekod Dua Kes Pada 2022

0
SHARE
Rose
Dr Rose Nani ketika berucap dalam perasmian Sambutan World Orthodontic Health Day Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 bertempat di Imago ( Sumber Foto: Laman media sosial Facebook rasmi JKNS )

KOTA KINABALU, SABAH – Pendakap gigi palsu masih menjadi cabaran bagi pakar gigi di Sabah berikutan masih terdapat permintaan terutamanya dari kalangan remaja dan dewasa muda.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata pada tahun 2022, jumlah aduan berkaitan pengamal pergigian haram adalah sebanyak 97 kes di seluruh Malaysia.

“Sebanyak 64 peratus (62 kes) adalah aduan berkaitan pendakap gigi yang palsu (fake braces), 22 peratus (23 kes) merupakan aduan berkaitan veneer pergigian dan 13 peratus adalah lain-lain kes perkhidmatan seperti pembuatan gigi palsu, cabutan dan lain-lain perkhidmatan.

“Bagi negeri Sabah, pada tahun 2022 sejumlah 2 kes berkaitan pengamalan haram telah diterima iaitu satu kes ‘fake braces’ dan satu kes ‘fake veneers’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian Sambutan World Orthodontic Health Day Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 bertempat di Imago, di sini, semalam.

Ia merupakan satu inisiatif Bahagian Kesihatan Pergigian JKNS dalam usaha mempromosikan dan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan pergigian ortodontik yang selamat, profesional dan beretika dari pengamal pergigian yang sah dan bertauliah.

“Masyarakat perlu tahu bahawa pemasangan pendakap gigi palsu tanpa pemeriksaan pergigian menyeluruh dan tiada rancangan rawatan yang komprehensif boleh menyebabkan pergerakan gigi yang drastik.

“Ini seterusnya menjadikan gigi goyang dan mudah tertanggal. Selain dari itu, bahan dan peralatan yang digunakan tidak diketahui status keselamatan dan kebersihannya.

“Masyarakat juga perlu bijak dalam mengenali pengamal pergigian haram. Modus operandi mereka adalah seperti menawarkan harga yang murah dan lokasi rawatan yang tidak tetap seperti di rumah, hotel, rumah tumpangan, dan pusat kecantikan.

“Pengamal pergigian haram ini juga sukar dihubungi atau dijejaki apabila terjadi sebarang komplikasi.

“Orang ramai dinasihati untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan ortodontik dari pengamal pergigian yang sah dan bertauliah di fasiliti-fasiliti yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.