TAWAU: Empat lelaki ditahan oleh sepasukan anggota Task Force Perisikan dan Team Risik Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau ketika cuba menyeludup keluar pelbagai jenis barang kawalan ke Indonesia pada Rabu.
Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Pemangku Superintenden Anselinus Marcus dalam satu kenyataan berkata, tiga warga tempatan dan seorang warga asing disyaki kelindan lori dan penjaga rumah itu berjaya ditahan menerusi serbuan di sebuah rumah di Jalan Tawau Lama.
“Pemeriksaan mendapati disyaki berlaku kegiatan penyeludupan berikutan aktiviti urusniaga dibuat di dalam sebuah rumah dan bukannya dalam permis atau gudang berlesen selain tiada sebarang dokumen yang sah untuk membuktikan mereka boleh menyimpan barangan terkawal dalam kuantiti yang banyak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Katanya, modus operandi mereka adalah memunggah barangan tersebut ke bot dengan kadar yang sangat pantas, seterusnya dibawa segera ke negara jiran melalui jalan laut menghala ke kawasan Indonesia.
“Pada masa yang sama, kedudukan rumah tersebut amat berdekatan dengan laut untuk memudahkan kerja-kerja mengangkut barangan dilaksanakan,” tambahnya lagi.
Menurut Pemangku Superintenden Anselinus, antara barang kawalan yang dirampas adalah 1,619 peket gula putih dan kasar, 120 guni baja campuran, 15 gelen petrol dan 170 tong gas.
Pihaknya juga turut merampas tiga lori box dan enam bot laju beserta enam enjin dengan anggaran keseluruhan bernilai lebih RM1.3 juta.
Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Tegasnya, Batalion 14 PGA Tawau terus melaksanakan gerak gempur di kawasan tanggungjawab dalam usaha membanteras sebarang aktiviti pemyeludupan, kontraban atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang.