KOTA BELUD: Kegiatan menjual air ketum secara haram di beberapa kampung sekitar daerah ini tumpas selepas sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Belud menahan empat lelaki tempatan dalam serbuan berasingan sejak 24 Mei yang lalu.
Ketua Polis Daerah, Supt. Shahrudin Mat Husain berkata tangkapan itu dilakukan hasil maklumat risikan dan serbuan di lokasi sekitar Kampung Taun Gusi, Tempasuk 1, Kampung Suang Punggur, Kampung Pintasan dan Kampung Ambong.
Menurut beliau, tangkapan pertama melibatkan seorang suspek lelaki yang ditahan di sebuah rumah di Kampung Pintasan pada jam 11.30 pagi.
Polis merampas 8 botol berisi 1.5 liter air ketum, isipadu 1200ml yang disyaki mengandungi bahan sama.
“Dalam serbuan kedua pada jam 3.25 petang di Kampung Taun Gusi, seorang lagi lelaki ditahan bersama 24 botol 1.5 liter air ketum isipadu 34500 ml di dalam sebuah rumah yang didiami oleh suspek.
“Seterusnya, pada 5 Jun jam 11, pagi di Kampung Ambong 2 orang lelaki telah ditahan bersama 10 botol 1.5 liter air berisipadu 1500 ml ketum serta merampas peralatan memasak air ketum,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, air ketum tersebut di jual dengan harga anggaran RM25 hingga RM30 sebotol.
Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 50 tahun kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.






