KUNDASANG: Latihan simulasi Ops Pengungsian Gunung Kinabalu yang berlangsung selama tiga hari sehingga Khamis lalu menjadi medan kesiapsiagaan agensi penyelamat dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Gunung Kinabalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, KPjB Mohd Pisar Aziz dalam ucapannya sempena majlis penutupan latihan dan peringatan gempa bumi Gunung Kinabalu hari ini menegaskan bahawa tragedi 5 Jun 2015 perlu terus menjadi iktibar kepada semua pihak.
“Tragedi itu meragut 18 nyawa termasuk pendaki dan malim gunung. Ia mengubah cara kita melihat soal keselamatan di Gunung Kinabalu dan mencetuskan pelbagai langkah penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata, latihan OPS Pengungsian yang melibatkan kawasan dari Panalaban hingga ke puncak Low’s Peak telah menguji koordinasi, komunikasi dan respons kecemasan pelbagai agensi termasuk Taman-Taman Sabah, MKN Sabah, KKM, PDRM, APM dan lain-lain.
“Melalui latihan seperti ini, kita bukan sahaja menguji keupayaan agensi, tetapi juga mendidik komuniti setempat seperti malim gunung, porter dan pengusaha pelancongan agar lebih bersedia,” katanya lagi.
Seramai 69 peserta menyertai latihan berkenaan yang mana 49 di kawasan pergunungan dan 20 di kaki gunung yang turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai agensi kerajaan serta pengendali pelancongan swasta seperti Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq.
Pengarah JBPM Sabah turut menggesa supaya latihan seperti ini dijadikan acara tahunan sebagai langkah berterusan memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana.
“Kita tidak boleh leka atau alpa, kerana bencana tidak mengenal masa dan tempat,” tegasnya.
Majlis turut diadakan bagi memperingati peristiwa gempa bumi Ranau yang berlaku pada 5 Jun 2015, satu insiden yang kekal terpahat dalam ingatan rakyat Sabah, khususnya komuniti Gunung Kinabalu.






