KUALA LUMPUR: Festival muzik silang budaya paling dinanti, Latihan Pestapora Malaysia 2025, mengumumkan kepulangan kumpulan legenda Indonesia, Sheila On 7 ke pentas Malaysia dalam sebuah persembahan yang dijangka mencipta sejarah.
Festival yang menghimpunkan bintang dari dua negara serumpun ini kini berpindah ke lokasi baharu yang lebih besar dan ikonik iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil dan dijadual berlangsung pada 26 Julai 2025.
Dalam pengumuman barisan Fasa 2, festival ini turut menambah dua lagi nama besar ke dalam senarai penyanyi dan penulis lagu yang sedang meningkat naik, Nadin Amizah serta produser muzik elektronik Malaysia yang semakin mendapat perhatian, ALVN. Penambahan ini dijangka menarik lebih ramai peminat dari pelbagai lapisan usia dan latar belakang muzik.
Menurut Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Sheila On 7 bukan sekadar band, mereka adalah sebahagian daripada jiwa dan memori kolektif satu generasi. Kepulangan mereka ke Malaysia adalah lebih daripada sekadar persembahan dan ia adalah momen bersejarah buat peminat setia mereka.
Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator pula berkata, Pestapora adalah tentang komuniti dan cinta terhadap muzik.
“Membawa semangat ini ke Malaysia adalah langkah semula jadi yang amat bermakna buat kami. Penambahan Sheila On 7, Nadin Amizah dan ALVN akan memperkukuh lagi misi kami untuk meraikan semangat Nusantara dalam satu malam penuh kenangan,” katanya.
Dianjurkan bersama oleh Hitman Solutions dan Boss Creator, dua nama di sebalik kejayaan Pestapora di Jakarta, edisi Malaysia ini bakal menampilkan gabungan muzik, budaya dan komuniti yang belum pernah disaksikan di negara ini.
Barisan Fasa 1 festival ini telah pun menampilkan nama-nama besar seperti Feast, Hindia, Pamungkas, Feel Koplo, Bittersweet, Bunkface, DOLLA dan ramai lagi.
Tiket Fasa 2 akan mula dijual pada 9 Jun 2025, jam 12 tengah hari (GMT+8) menerusi laman web rasmi: [www.latihanpestaporamalaysia.com](http://www.latihanpestaporamalaysia.com).
Kategori tiket baharu termasuk, Rockzone (Free Standing) – RM299; GA (Free Standing)– RM249; CAT 1 (Tempat Duduk Bernombor) – RM399 (Kategori Baharu); dan CAT 2 (Tempat Duduk Bernombor) – RM189 (Kategori Baharu).
Penganjuran festival ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik seperti ERA FM, HITZ FM, SINAR FM, SYOK, World of Buzz, Lobak Merah, Batik Air, BookCabin, Sunway Putra Hotel, serta disokong oleh Universal Music Malaysia dan Tapao Fest.
Latihan Pestapora Malaysia 2025 bukan sekadar festival – ia adalah sebuah perayaan muzik, budaya, dan kenangan yang menghubungkan dua negara serumpun melalui irama dan jiwa Nusantara. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada pengalaman muzik yang luar biasa ini.






