TUARAN: Enam individu dilaporkan cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Tamparuli-Ranau berhampiran Kampung Togop, petang tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 2.47 petang.
Sebaik sepasukan enam anggota tiba di lokasi pada jam 3.22 petang, didapati kemalangan membabitkan sebuah van Toyota Hiace dan sebuah Proton Saga.
“Terdapat enam mangsa yang mengalami kecederaan ringan. Mangsa-mangsa telah diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” kata seorang jurucakap agensi.
Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tiada bahaya lain di kawasan kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.40 petang.