Enam Jana Kuasa Mudah Alih Ditempatkan Di Menara Kinabalu

Enam Jana Kuasa Mudah Alih Ditempatkan Di Menara Kinabalu

0
SHARE
Sesb
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor ( Sumber Foto: Ihsan SESB )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menempatkan enam buah
janakuasa mudah alih di kawasan Menara Kinabalu untuk menampung keperluan
bekalan elektrik ke bangunan itu.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Idris Mohd Noor berkata, langkah itu
diambil berikutan berlakunya gangguan bekalan ke bangunan tersebut yang disebabkan
oleh kerosakan kabel milik SESB.

Disamping itu, menurutnya beberapa kawasan lain yang terdiri daripada perumahan dan premis komersil berdekatan juga turut terjejas.

Mengulas lanjut, hasil siasat oleh pasukan teknikal SESB mendapati kerosakan ke atas
talian 33kV itu disebabkan cubaan memotong dan mencuri kabel tersebut oleh pihak
yang tidak bertanggungjawab.

“Kami dapati terdapat kesan potongan dan terbakar yang bertujuan untuk mencuri kabel
milik SESB dan kejadian ini telah menjejaskan bekalan ke beberapa kawasan di Alam
Mesra, Likas dan Menara Kinabalu.

Kerja-kerja pemulihan bekalan telah dilaksanakan secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

SESB telah berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik kepada semua kawasan
yang mengalami gangguan elektrik pada hari yang sama.

Walaubagaimanapun, Idris berkata bekalan ke Menara Kinabalu masih terjejas apabila
berlaku kerosakan kabel sekali lagi pada lewat malam Selasa lepas.

Kerosakan kedua ini disyaki disebabkan kerja-kerja penimbusan tanah di laluan utama kabel bawah tanah.

Kerja-kerja pemulihan bekalan sedang giat dilaksanakan.