KINABATANGAN, SABAH – TIGA (3) individu Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) ditahan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) kerana disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran sesat ‘Wali Tujuh’.
Komander ESSCOM, DCP Haji Hamzah Haji Ahmad berkata, ketiga-tiga suspek lelaki ditahan dalam serbuan keatas sebuah rumah pekerja di Ladang Bukit Kertam, Kota Kinabatangan, sini semalam.
Mereka terdiri daripada seorang guru berumur 34 tahun serta dua orang pembantu 49, dan 27.
“Tiga individu terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan…
“Hasil pemeriksaan ke atas individu-individu terbabit mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah di bawah seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.
“Beberapa barang peribadi milik salah seorang individu terbabit antaranya kalendar ‘putikaan’ (takwin), pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai jenis tangkal telah dirampas,” katanya dalam sebuah kenyataan.


Berdasarkan risikan awal, Hamzah berkata kumpulan berkenaan mula bergiat aktif sejak 3 bulan lalu dengan membawa ajaran ilmu batin dan kebal yang telah berkembang pantas dan menarik minat penyertaan pekerja ladang khususnya warga asing di sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan.
Pada waktu ini, kumpulan tersebut mempunyai seramai 20 orang pengikut terdiri daripada warga asing yang merupakan pekerja ladang di sekitar daerah tersebut.
VIDEO salah satu upacara yang dilakukan oleh ajaran sesat ‘Wali Tujuh’…(Sumber Video: Esscom)
“ESSCOM ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran atau dakyah baharu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat…
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap manamana individu dan kumpulan yang sengaja mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan di ESS Zone,” tegasnya.





