ANKARA, TURKI – Facebook dan Instagram sekali lagi alami gangguan selepas beberapa pengguna dilaporkan tidak dapat mengakses laman media sosial berkenaan sejak semalam.
Ini merupakan kali kedua perkara sama yang berlaku dalam tempoh seminggu ini.
“Kami sedar beberapa orang menghadapi masalah untuk akses aplikasi dan produk kami. Kami sedang berusaha mengatasi masalah itu secepat mungkin dan meminta maaf atas sebarang kesulitan,” kata Facebook dalam satu kenyataan di Twitter.
Instagram, platform perkongsian foto dan video milik Facebook juga mengakui sebahagian daripada pengguna mungkin menghadapi beberapa masalah untuk menggunakan aplikasi itu.
“Kami minta maaf dan akan berusaha secepat mungkin untuk mengatasinya,” menurut pengendali Instagram.
Empat hari lalu, platform media sosial itu turut tidak dapat diakses kira-kira enam jam dan menurut Facebook ia disebabkan ‘masalah perubahan konfigurasi’.