
KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semalam menyampaikan Watikah Persilaan ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong, warkah persilaan tersebut merupakan yang ketiga selepas Pulau Pinang dan Kedah.
“Kita telah mempersembahkan Warkah Persilaan sempena Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 dan ini merupakan warkah persilaan yang ketiga dan akan diteruskan ke Sarawak pada Rabu ini,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu.
Dalam kunjungan 45 minit itu, Fahmi turut menerima pandangan serta nasihat dalam aspek kestabilan politik daripada Tun Juhar.
“Alhamdulillah, dalam kunjungan ini Tun banyak memberikan pandangan, menitipkan sedikit nasihat dan pesanan untuk urus tadbir yang baik dan kepentingan kestabilan politik. Ini yang telah kita usahakan.
“Ini adalah pertemuan kali pertama saya sangat teruja, Tun telah menyampaikan pandangan sebagai seorang yang cukup berpengalaman dan mengingatkan tentang pelbagai liku-liku dalam beliau menjawat jawatan sebagai Tuan Yang Terutama memang meninggalkan kesan.
“Kerana sebagai ahli politik yang masih muda, saya tidak boleh tidak merasakan bahawa nasihat dan pesanan itu cukup penting bagi saya dan beberapa pandangan yang Tun telah berikan, saya akan bawa balik ke Putrajaya untuk disampaikan,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Awang Alik Jeman; Datuk Paduka Maharaja Lela, Azuan Effendy Zairakithnaini; Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa JPM, Datuk Rozainor Ramli serta Pemangku Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Mohd Aseral Jusman.
Istiadat Pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini dan dapat diikuti oleh rakyat secara langsung menerusi semua saluran utama televisyen negara dan platform media sosial. — JABATAN PENERANGAN SABAH