Gandingan Harga Murah, Kualiti Internet Jayakan Insentif Rahmah Secara Berkesan Di Sabah

Gandingan Harga Murah, Kualiti Internet Jayakan Insentif Rahmah Secara Berkesan Di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Gandingan faktor harga murah dan tahap kualiti perkhidmatan internet dalam tawaran Pakej 5G Rahmah dan Insentif Postpaid Rahmah Penjawat Awam mampu memberi kesan besar kepada penduduk Sabah.

Mereka yang ditemu bual Bernama berpendapat inisiatif sedia ada kerajaan seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang bertujuan menambah baik kualiti perkhidmatan internet di negeri ini, boleh dijadikan sebagai platform bagi memastikan‘gandingan itu berkesan.

Asmah Asmuni, 40, berkata penjawat awam, yang sebahagiannya terdiri daripada golongan B40, memerlukan akses internet yang baik bagi melancarkan urusan berkaitan kerja secara dalam talian malah pada masa ini terpaksa melanggan internet berkelajuan tinggi pada kadar harga agak mahal.

“Apabila ada pakej begini, kita dapat kurangkan pembayaran dan memudahkan kita mengakses internet, urus segala maklumat terutama mengisi borang cuti dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) mengisi Ssaran Kerja Tahunan (SKT), memudahkan mengisi borang GL secara dalam talian, selain mengikuti kursus secara dalam talian,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi penjawat awam persekutuan, Hamadi Mangka, 52, berkata gandingan dua faktor itu akan menjayakan insentif itu dengan lebih berkesan bagi memastikan akses internet, yang kini menjadi satu keperluan, dapat dinikmati kepada semua rakyatnya.

“Insentif ini juga akan memberi manfaat kepada anak-anak dalam mendapatkan maklumat untuk pendidikan, harga yang murah ditambah dengan akses internet yang laju dan mudah amat membantu kita di sini,” katanya.

Katanya, kesukaran mendapatkan akses internet di kawasan pulau seperti Semporna dan Sebatik di Tawau menyukarkan beliau melaksanakan tugas selain menyukarkan penduduk menikmati kemajuan.

Pemandu e-Hailing Junaidi Alajid, 41, berharap inisiatif Pakej 5G Rahmah dapat membuka pintu yang luas dalam usaha membawa perkhidmatan internet berkelajuan tinggi 5G ke seluruh Sabah, sekali gus meningkatkan taraf dan kualiti hidup mereka.

“Pengumuman kerajaan itu bagus kerana seperti saya ini guna e-Hailing untuk menyara hidup dan keluarga, kita guna internet untuk aplikasi dan panduan perjalanan, tetapi bila internet tidak bagus kerja kita akan terganggu dan bila harga mahal jejaskan pula pendapatan kita,” katanya.

Penghantar makanan Aidil Aziz, 22, berkata pakej internet yang lebih murah dapat mengurangkan kos untuk melaksanakan kerja melibatkan e-Hailing kerana ia memerlukan akses internet berkelajuan tinggi, yang sebelum ini terpaksa dilanggan dengan kadar bayaran tinggi.

“Langganan internet dengan peranti membantu mereka di Sabah yang melakukan pekerjaan e-Hailing kerana membeli peranti itu mahal terutama mereka yang berpendapatan rendah ini, akses internet itu perlu diambil kira kerana ada masa saya hantar makanan, tiba-tiba tiada internet… tidak tahu pelanggan di mana,” katanya.

Menteri Komunikasi Dan Digital, Fahmi Fadzil, hari ini, mengumumkan penjawat awam akan menikmati rebat RM10 sebulan, penjimatan pakej postpaid sebanyak RM120 setahun, bagi langganan pakej postpaid menerusi Insentif Postpaid RAHMAH Penjawat Awam berkuat kuasa 31 Ogos ini.

Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi Dan Digital, Fahmi Fadzil (Sumber Foto: Laman media sosial Rasmi Menteri Komunikasi Dan Digital)

Pakej 5G RAHMAH bermula 31 Ogosini menawarkan pakej telefon pintar 5G pelan data dengan harga telefon pintar jenama Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G ditawarkan serendah RM240 berserta pelan data sebanyak 60GB pada harga RM60 sebulan.

– BERNAMA