Hajiji Raikan Majlis Kesyukuran Ketua Menteri Bersama Rakyat di Kampung Serusup

Hajiji Raikan Majlis Kesyukuran Ketua Menteri Bersama Rakyat di Kampung Serusup

0
SHARE

TUARAN: Majlis Kesyukuran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, telah berlangsung meriah di kediaman beliau di Kampung Serusup, Tuaran pada Jumaat.

Acara ini dianjurkan sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan kepada para penyokong serta masyarakat setempat.

Kehadiran isteri Ketua Menteri, Datin Seri Datuk Juliah Salag, turut menyerikan majlis tersebut yang menyaksikan hubungan mesra terjalin antara pimpinan negeri dan rakyat. Hajiji meluangkan masa beramah mesra serta bersalaman dengan tetamu yang hadir.

Majlis itu menghimpunkan jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang menjadi tonggak sokongan kepimpinan beliau. Penduduk dari kawasan DUN berkenaan turut hadir memeriahkan suasana.

Turut serta dalam majlis tersebut ialah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), antaranya ADUN Labuk merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jambri; ADUN Dilantik dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun; serta ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.

Majlis berkenaan turut dihadiri ADUN Dilantik, Datuk Haji Abdul Kassim Razali, yang bersama-sama pimpinan lain menzahirkan sokongan terhadap Ketua Menteri.

Kehadiran mereka menjadikan majlis lebih bermakna dalam mengukuhkan hubungan antara kepimpinan negeri dan masyarakat.