KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Majlis itu menyaksikan Komisioner Polis (CP) Datuk Victor Sanjos menyerahkan tugas sebagai Komander ESSCOM kepada DCP Datuk Abdul Fuad Abdul Malek.
Victor yang sebelum ini memegang jawatan Komander ESSCOM dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah pada 11 November lalu, menggantikan Datuk Jauteh Dikun yang bersara wajib.
Sementara itu, Abdul Fuad sebelum ini merupakan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Terdahulu, Hajiji turut menyaksikan acara pemakaian pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) kepada Abdul Fuad yang disempurnakan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Haji Hassan Basri.
Dalam perkembangan lain, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Panglima Armada Timur, Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Dato’ Ahmad Shafirudin Abu Bakar.
Ahmad Shafirudin merupakan Panglima Armada Timur ketujuh yang mengambil alih kepimpinan MPA Timur secara rasmi pada 20 Oktober lalu, menggantikan Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi Idris.






