Terus Komited Pastikan Penghasilan Makanan Selamat – Shahelmey

Terus Komited Pastikan Penghasilan Makanan Selamat – Shahelmey

0
SHARE
Shahelmey
Shahelmey (empat dari kanan) bersama tetamu jemputan memegang plak jenis pensijilan kepada pengusaha makanan yang diperkenalkan oleh KKM ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya menyeru pengusaha makanan agar terus komited dalam memastikan penghasilan makanan yang selamat.

Menurut beliau, pengusaha makanan dinasihat untuk mendapatkan pensijilan bagi memastikan penghasilan makanan yang selamat dan berkualiti kepada pengguna.

“Pada masa kini, kawalan keselamatan dan kualiti makanan menjadi semakin mencabar disebabkan faktor kompleksiti dalam penghasilannya.

“Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah Program Keselamatan dan Kualiti Makanan telah memperkenalkan beberapa jenis pensijilan kepada pengusaha makanan seperti Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP), Good Manufacturing Practice (GMP), MeSTI, BeSS, Trust MyCatering dan Home Based Listing bagi memastikan keselamatan dan kualiti makanan di pasaran terjamin.

“Tahniah diucapkan kepada lebih kurang 12 perusahaan makanan yang akan menerima pensijilan keselamatan makanan bagi MeSTI dan Home-based Listing pada hari ini.

“Kita semua sebagai pengguna mempunyai hak untuk memacu perubahan dalam memastikan makanan yang diambil adalah bersih dan selamat,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia dan Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Sabah 2023 di Dewan Sri Putatan, pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya mendedahkan objektif sambutan berkenaan adalah untuk memberikan advokasi kepada industri makanan, pengendali makanan dan pengguna mengenai tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan makanan sentiasa di tahap yang terbaik.

“Selain daripada itu, tujuan program ini diadakan juga adalah untuk memperkukuhkan amalan penyelia makanan dalam memastikan makanan yang dijual bebas daripada pencemaran seterusnya menyebabkan keracunan makanan,” tambahnya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan 7 Jun setiap tahun sebagai Hari Keselamatan Makanan Sedunia dengan membawa slogan “Food Safety is Everyone’s Business”.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Shah dan Pegawai Daerah, Masawi Salleh. — JABATAN PENERANGAN SABAH