KOTA KINABALU: Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijah merupakan salah satu hari paling mulia dalam Islam di mana jutaan jemaah haji berwukuf di Padang Arafah sebelum menyambut Aidiladha keesokan harinya.
Bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji, mereka digalakkan untuk berpuasa sunat dan memperbanyakkan doa pada hari tersebut.
Namun timbul persoalan: bilakah waktu doa paling mustajab bagi mereka yang berada di luar Makkah, khususnya di Malaysia?
Menurut penceramah dan penulis, Ustazah Siti Aminah Sulieman, waktu paling afdal untuk berdoa ialah ketika wukuf di Arafah, kerana itulah kemuncak ibadah haji.
“Kalau ikut waktu Makkah, jemaah mula berwukuf selepas Zohor. Jadi di Malaysia, waktu yang bertepatan adalah selepas Asar pada Khamis, 5 Jun,” katanya.
Namun begitu, beliau menasihatkan agar umat Islam tidak hanya fokus pada satu hari sahaja.
“Berdoalah pada kedua-dua hari, Khamis (mengikut waktu wukuf di Arafah) dan Jumaat (9 Zulhijah di Malaysia). Kedua-duanya membawa keberkatan,” tambahnya menerusi perkongsian di TikTok.
Beliau turut mengingatkan agar tidak melepaskan peluang untuk berdoa pada malam Aidiladha, iaitu malam Jumaat menuju Sabtu, kerana malam itu juga termasuk waktu yang mustajab untuk berdoa.






