HENTIKAN PERBALAHAN POLITIK, FOKUS KEPADA PEMBANGUNAN SABAH: KM HAJIJI

HENTIKAN PERBALAHAN POLITIK, FOKUS KEPADA PEMBANGUNAN SABAH: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Hajiji disambut sebaik ketibaan di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli hari ini ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TAMPARULI, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa semua pihak menghentikan perbalahan politik dan sebaliknya menumpukan usaha kepada membangunkan negeri.

“Tanpa terlalu bermain politik, kita boleh beri sepenuh perhatian untuk membangunkan Sabah.

“Kita mesti pastikan semua aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya berjaya dilaksanakan,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Tamparuli Gagasan Rakyat di Dewan Tun Hamdan, di sini hari ini.

Selain itu z katanya kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menetapkan hala tuju untuk membangunkan Sabah.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran seperti pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan politik di peringkat Persekutuan, kami berjaya bergerak ke hadapan melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” kata Hajiji yang merupakan Pengerusi GRS.

Beliau berkata fokus utama Gagasan Rakyat yang dipimpinnya ialah pembangunan Sabah.

“Kami (Gagasan Rakyat) tidak bersaing dengan rakan kongsi kami dalam (GRS). Gagasan Rakyat tidak ditubuhkan untuk bermain politik tetapi kami fokus kepada aspek pembangunan negeri,” katanya.

Oleh itu, menurutnya adalah mustahak Gagasan Rakyat menjalinkan kerjasama yang padu dengan semua komponen GRS di kesemua 73 bahagiannya.

Beliau berkata perpaduan yang kukuh adalah penting bagi membolehkan GRS terus menerajui kerajaan negeri.

Beliau berkata Gagasan Rakyat baru berusia tujuh bulan tetapi beliau gembira melihat kematangan pemimpin dan ahlinya.

Hajiji turut memuji Tamparuli Gagasan Rakyat di bawah pimpinan Datuk Alijus Sipil, yang kini mempunyai 68 cawangan dan kira-kira 2,000 ahli.