HPPK 2023 Bantu Usahawan, Golongan Berpendapatan Rendah

HPPK 2023 Bantu Usahawan, Golongan Berpendapatan Rendah

0
SHARE
Hpkk
Zaharani (kanan) bersama dengan rakan-rakannya ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PENAMPANG, SABAH – Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2023 membantu usahawan dan golongan berpendapatan rendah.

Usahawan Kosmetik, Zaharina Masair berkata program tersebut membuka peluang kepada peniaga industri kecil dan sederhana mempromosikan produk mereka secara besar-besaran.

“Saya berharap agar program seperti ini diteruskan lagi pada masa hadapan bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga hingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya yang berasal dari daerah Kudat.

Sementara itu, kerani sekolah, Kilun Kodoyon, 59, meluahkan rasa syukur kerana Jualan Madani Koperasi yang diadakan sempena karnival HPPK 2023 membolehkan golongan berpendapatan rendah membeli barang keperluan.

“Jualan Madani ini memang terbaik kerana menawarkan pengurangan harga yang boleh meringankan beban pembeli terutama golongan berpendapatan rendah.

“Harga pun murah, sangat jauh berbeza daripada harga runcit di kedai dan saya berharap program seperti ini akan diteruskan lagi di masa akan datang,” katanya.

Selain beraneka jualan, pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut membuka reruai yang menawarkan khidmat nasihat kepada orang ramai.

Penolong Setiausaha (Keusahawan), Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Salmiah Salleh memaklumkan seramai lebih 20 usahawan baharu mendaftar bersama MIDE sepanjang karnival berlangsung.

“Sebelum ini, ramai tidak tahu fungsi MIDE tetapi selepas mengunjungi booth dan mendapatkan penjelasan, mereka akhirnya tahu kami (MIDE) menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada usahawan di Sabah.

“Selain itu, sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung, kami juga menawarkan khidmat nasihat berkaitan peningkatan kualiti pembungkusan kepada usahawan sedia ada,” ujar Salmiah.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang karnival itu antaranya Pertandingan Nyanyian Suara Kita, Pertandingan E-Sports Mobile Legend, Konsert Aramai Boh!!, Seminar Asas Pembangunan Produk dan Servis, pertandingan memasak dan bengkel-bengkel kemahiran.

Karnival anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang julung kali diadakan di Sabah itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khamis lalu. — JABATAN PENERANGAN SABAH