SIPITANG: Kes kematian pelajar sekolah berasrama penuh, Allahyarhamah Zara Qairina binti Mahathir, kembali menjadi perhatian selepas ibunya, Puan Noraidah Lamat, tampil membuat laporan polis baharu berhubung kesan lebam yang ditemui di belakang tubuh anaknya ketika memandikan jenazah pada 17 Julai lalu.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh firma guaman Hamid Ismail & Shahlan Jufri, anak guam mereka membuat laporan terbaharu pagi tadi di Balai Polis Sipitang selepas teringat kembali tentang keadaan fizikal Allahyarhamah semasa proses mandi jenazah di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu.
“Beliau terlupa tentang fakta penting ini kerana terlalu sedih sejak 16 Julai. Namun setelah kami menyoal beliau semula kelmarin berkenaan keadaan tubuh arwah, beliau mengesahkan wujud kesan lebam besar di bahagian belakang Zara,” kata kenyataan itu, di sini, hari ini.
Puan Noraidah mendakwa bahawa kesan lebam tersebut dipercayai akibat pukulan menggunakan objek tumpul sebelum Zara ditemui meninggal dunia di bahagian bawah bangunan asrama sekolahnya.
Firma guaman berkenaan turut memetik kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bahawa siasatan polis telah pun selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Namun mereka berpendapat perkembangan baharu ini wajar menjadi asas kukuh untuk membuka semula siasatan.
“Bagi memastikan keadilan ditegakkan, kami menegaskan bahawa kubur Allahyarhamah Zara perlu digali semula dan satu bedah siasat dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian serta kemungkinan wujud unsur jenayah,” jelas mereka.
Pada 30 Julai lalu, Noraidah turut membuat laporan polis berkaitan rakaman perbualan dengan Zara yang mendedahkan dirinya sering dibuli oleh pelajar senior, termasuk diugut dengan perkataan “kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni.”
Maklumat itu kini dilihat berkemungkinan berkait rapat dengan kecederaan yang dilaporkan.






