KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu ternama, Ikhwan Fatanna, melahirkan karya terbaharu berjudul “Cahaya Mata”, sebuah lagu yang dicipta khas sempena kelahiran anak sulungnya iaitu bayi lelaki yang diberi nama Yusuf Musa Mohamad Fatanah pada 17 September lalu.
Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ikhwan dan dinyanyikannya sendiri memaparkan keindahan dan kegembiraan menjadi ibu bapa serta merakam detik penuh makna dengan kelahiran insan yang membawa sinar baru dalam kehidupannya bersama isteri tercinta.
Lagu “Cahaya Mata” adalah cerminan kasih sayang, pengharapan dan syukur yang dirasai Ikhwan sebagai seorang bapa.
Lirik yang ditulis dengan penuh kejujuran ini menyampaikan rasa cinta yang mendalam terhadap anaknya serta mengangkat tema tanggungjawab dan kebahagiaan yang hadir dengan kehadiran seorang anak.
Susunan muzik lagu ini lembut dan penuh emosi dengan melodi indah yang membangkitkan suasana keintiman serta kedamaian.
Ikhwan berkata, kelahiran cahaya mata mengubah perspektif dirinya mengenai kehidupan.
“Saya ingin berkongsi perasaan yang tidak terucap ini melalui lagu Cahaya Mata, sebagai tanda penghargaan untuk momen yang cukup indah yang saya dan isteri lalui. Lagu ini bukan sahaja untuk ibu bapa tetapi juga untuk sesiapa sahaja yang merasai keajaiban kasih sayang dalam keluarga.
“Lagu ini boleh dikatakan sangat istimewa kerana ia dihasilkan bersempena dengan kelahiran anak sulung saya pada 17 September yang lalu. Lagu ini saya dapat idea sewaktu isteri mengandung.
“Kalau tak silap saya ketika usia kandungan lima bulan. Oleh kerana saya berasa terlalu gembira dan bersyukur sangat ketika itu, saya nak terjemahkan rasa itu di dalam sebuah lagu.
“Sebenarnya, lagu ini saya fikir nak simpan untuk kenangan bersama keluarga saja. Tapi, bila saya bagi isteri dengar, dia kata lagu ini okey dan menarik.
“Saya ambil keputusan untuk kongsikan lagu ini bersama orang ramai sebab saya pasti ramai orang juga mengalami perasaan yang sama ketika menerima kehadiran cahaya mata,” katanya.
Ikhwan berkata, dia berharap lagu “Cahaya Mata” dapat menghiasi setiap keluarga kerana ada banyak elemen kebahagiaan dan syukur dalam lagu ini.
“Memang sangat luarbiasa perasaan ini apabila dikurniakan cahaya mata. Jadi, saya terjemahkan perasaan ini dalam lagu ini dan saya harap lagu ini dapat sambutan yang baik daripada semua. Saya berharap pendengar dapat menikmati lagu Cahaya Mata ini,” katanya.
Menurutnya, pelancaran lagu ini pada 18 Oktober ‘24 bersamaan genap sebulan usia cahaya matanya sekarang.