Oleh: Ahmad Fazlan Shah bin Abd Rahman & Sharifudin Abdul Rahim
LAPORAN KHAS – Dari udara, Semporna, Sabah tampak menawan. Laut birunya membentang luas, pulau-pulau kecil bertaburan, terumbu karang hidup menjadi tarikan penyelam dunia.
Pulau Sipadan dan Pulau Mabul, antara lokasi menyelam tercantik di dunia. Tetapi keindahan itu terhenti setibanya di daratan.
Bau sampah yang menusuk, plastik yang terapung di kampung air, dan longgokan sisa di tepi jeti menjadi wajah sebenar pintu masuk ke syurga pelancongan Malaysia ini.
Selamat datang ke Semporna
Krew Sabah News berkunjung ke Semporna bagi meninjau sendiri suasana di persekitaran sepanjang laluan utama menuju ke bandar.
Pembangunan dan perancangan perumahan tidak tersusun selain landskap keindahan tidak teratur merencatkan pemandangan.


Lebih mengejutkan, lokasi pusat pengumpulan sampah berada di tepi jalan utama, dikelilingi jabatan/agensi kerajaan, premis perniagaan, perumahan serta tempat penginapan, terletak hanya beberapa kilometer ke bandar.
Kelibat kenderaan pengurusan sisa yang keluar masuk di pusat itu juga turut memberi gangguan kepada keselesaan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.
Sampah ‘tenggelamkan’ syurga
Masalah kebersihan di Semporna bukan sekadar isu kosmetik, tetapi berulang sejak berdekad-dekad lalu.
Media melaporkan tahun lalu, beberapa operasi pembersihan besar-besaran hasil inisiatif komuniti alam sekitar mendedahkan keadaan parah: lebih 22,000 kilogram sampah dikutip dalam satu program di lapan lokasi di Semporna, dengan Pulau Mabul sahaja mencatat sejumlah 14,166 kilogram.
Bahkan pembersihan dasar laut di perairan pulau itu menemukan lebih 2,000 kilogram sampah dalam masa sehari.

Angka-angka ini jelas membuktikan masalah di Semporna bukan terpencil, tetapi sistemik dan berakar umbi.
Pelancong yang datang dengan harapan melihat laut biru dan pasir putih sering kecewa apabila tiba di jeti, disambut longgokan sampah dan bau busuk.
Ulasan negatif dalam talian serta rungutan di media sosial kini semakin kerap, sedikit demi sedikit mencalar reputasi Semporna sebagai syurga pelancongan dunia.

Pasangan pelancong dari United Kingdom, Elliott dan Keira, misalnya, berkongsi pengalaman bercuti di Semporna pada 28 Ogos lalu. Dalam ulasan mereka, pasangan itu menyifatkan Semporna sebagai lokasi di mana pulau-pulaunya antara yang tercantik pernah mereka kunjungi, tetapi pengalaman di daratan jauh daripada gambaran sebuah destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Saya belum pernah ke tempat lain yang begitu berbeza, begitu dekat antara satu sama lain. Pulau-pulau di sini sememangnya syurga, mungkin antara paling indah yang pernah saya lihat. Tetapi apabila sampai ke daratan, ia mundur, kotor, dan tidak banyak tarikan. Sejujurnya, tiada sebab untuk benar-benar singgah lama di bandar ini,” kata mereka.
Mereka menambah, jika ada pelancong yang mahu ke Semporna, sebaiknya hanya menempah urusan bot dan terus ke taman laut atau pulau-pulau sekitar, tanpa perlu menghabiskan masa di bandar utama.
Terbaru, pengalaman yang sama turut dikongsi Sandra Hanayu di TikTok, selepas berkunjung ke Semporna.
“Saya tak berasa akan datang semula ke sini. Memang pulau-pulau sangat cantik. Tetapi untuk merasai keindahan selama 5 minit pergi dan balik (sambil menunjukkan gambar sampah sarap di laut), faham tak. Lokasi ini berada di salah satu top resort.
“Saya sangat suka Sabah. Saya pergi ke Kundasang hinggakan naik ke Kinabalu. Kalau ada yang tanya di mana tempat yang menarik, saya akan cakap Sabah.
“Lebih baik pergi Pulau Redang, Pulau Perhentian atau Pulau Kapas. Malaysia ini banyak tempat cantik,” katanya.
Jelasnya lagi, keadaan ini antara punca mengapa rakyat di negara ini suka melancong di luar negara.
Amaran persekutuan, tindakan negeri
Isu kebersihan di Semporna bukan sahaja dikesan pelancong, malah pernah mengundang amaran keras daripada kerajaan Persekutuan. Pada Ogos 2023, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, menegaskan bahawa aduan mengenai keadaan persekitaran yang kotor, bau busuk serta premis inap yang tidak menepati piawaian adalah sesuatu yang serius.
“Aduan pelancong termasuk bau sampah, cadar yang kotor, serangga perosak, dan keadaan bilik yang tidak bersih adalah perkara yang boleh menjejaskan reputasi pelancongan negara. Jika tidak ditangani, pihak terbabit boleh berdepan tindakan tegas termasuk notis merah,” katanya dalam kenyataan rasmi, 17 Ogos 2023.
Tidak lama selepas itu, Kementerian Pelancongan dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah melancarkan program “Voluntourism: Bersih dan Selamat Semporna – Kalasahan Ku” pada Mac 2024. Inisiatif itu melibatkan Majlis Daerah Semporna, Pejabat Daerah, ESSCOM, NGO dan komuniti tempatan.
Antara aktivitinya ialah pembersihan sekitar jeti pelancongan, pemeriksaan premis penginapan berlesen, pendaftaran homestay, serta operasi khas ke atas pengendali kenderaan dan pemandu pelancong tanpa lesen.
Tanggungjawab wakil rakyat
Namun, di sebalik usaha kerajaan negeri dan kementerian persekutuan, satu persoalan tidak dapat dielakkan: di mana peranan wakil rakyat kawasan ini?
Tiga dekad berlalu sejak Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diberi mandat oleh rakyat Semporna pada tahun 1995, namun isu asas seperti kebersihan bandar, pengurusan sampah, dan komuniti tanpa dokumen masih belum selesai sehingga kini.
Untuk rekod, Mohd Shafie dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada tahun 2004. Beliau kemudiannya memegang portfolio Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, sebelum mengetuai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dari tahun 2009 hingga 2015 di bawah pentadbiran UMNO.

Namun, pada Julai 2015, beliau digugurkan daripada kabinet selepas rombakan besar dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak. Peristiwa itu menjadi titik perubahan dalam kerjaya politiknya. Pada 17 Oktober 2016, beliau menubuhkan Parti Warisan Sabah (WARISAN), yang kemudian mencipta kejutan dengan menawan pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Umum Negeri 2018. Ketika itu, Mohd Shafie menang bertanding di DUN Senallang, antara DUN selepas Sulabayan dan Bugaya yang terletak di bawah Parlimen Semporna.
Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-15, namun pemerintahannya hanya bertahan 26 bulan sebelum tumbang pada Pilihan Raya Negeri 2020 apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih kuasa.
Walaupun berjaya mempertahankan kerusi DUN Senallang dengan majoriti 4,631 undi, namun majoriti berkenaan merosot berbanding 5,909 undi yang diperoleh pada pilihan raya lalu. Dalam PRU15, beliau menang besar dengan 28,702 undi dan majoriti 20,810 — mandat jelas daripada 72,169 pemilih berdaftar di kawasan ini.
Tetapi selepas puluhan tahun, masalah paling asas — sampah, perkampungan setinggan, dan isu komuniti tanpa dokumen — masih kekal.
Dalam konteks demokrasi Malaysia, tanggungjawab seorang Ahli Parlimen bukan sekadar hadir menggubal dasar di Dewan Rakyat.
Peranan itu merangkumi mendidik rakyat, meningkatkan kesedaran kebersihan, menghubungkan komuniti dengan agensi kerajaan, dan memastikan dana pembangunan benar-benar sampai kepada pengundi.
Hakikat bahawa rungutan rakyat terus berulang mencerminkan kegagalan kepimpinan kawasan yang sudah tiga dekad diberi mandat.

Bagaimanapun, Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-8 Parti Warisan Bahagian Semporna baru-baru ini menyaksikan ucapan Mohd Shafie sebagai Presiden kembali menekankan keindahan Sabah serta potensi Semporna sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Saya melihat Semporna ini adalah satu tempat daerah yang cukup cantik, Sabah ini cukup cantik. Tidak ada tempat di Malaysia secantik bumi Sabah ini. Dari segi produk pelancongan, kita ada… Sabah mempunyai Gunung Kinabalu, pulau terbaik seperti Sipadan dan Ligitan. The best in Asia, no other places – termasuk makanan, budaya dan bangsa,” katanya sambil turut berjanji untuk memperindahkan Semporna sekiranya kembali berkuasa.
“Ramai pelancong datang ke sini. Insyallah, esok kalau kita berkuasa, kita akan cantikkan Semporna ini. Sampah ada, salah Datuk Shafie. Majlis Daerah yang dapat gaji hari-hari, saya punya salah. Dulu saya jadi Ketua Menteri, saya turun ke Semporna, saya sapu jalan raya, saya gerakkan usaha kutip sampah di laut, pastikan tidak ada kekotoran yang ada,” tambahnya.
Akses Persekutuan, Tetapi Semporna Terbiar
Walaupun Warisan kini merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, masalah asas di Semporna masih tidak menampakkan perubahan ketara.

Hakikat ini menimbulkan persoalan Ketua Bahagian PGRS N64 Sulabayan, Datuk Abdul Hajan Gurimbang kerana Mohd Shafie sebenarnya mempunyai akses serta saluran kuasa untuk membawa masuk bantuan, peruntukan, dan dasar yang boleh menangani isu setempat melalui kementerian-kementerian tertentu.
“Dia sebenarnya ada kuasa yang boleh diselesaikan. Bila dia berasa tak ada kuasa, dia mula menyalahkan orang lain, bukan menyalahkan dirinya. Dia tidak menceritakan kelemahannya, tetapi menceritakan kelemahan orang lain,” katanya.
Mengulas isu sampah, kata Abdul Hajan, sudah ada cadangan 15 tahun dulu agar masalah setinggan ditangani terlebih dahulu.
“Masalahnya, dia pertahankan kerana kampung tradisi sehingga menyebabkan kebanjiran pendatang tanpa dokumen sehingga keadaan jadi tidak terkawal,” jelasnya.
Tambahnya, kerjasama erat antara kepimpinan kawasan dan pihak berkuasa tempatan dilihat sebagai kunci untuk menyelesaikan isu kebersihan dan pembangunan di kawasan ini.
Jelasnya, Majlis Daerah Semporna perlu bekerjasama lebih rapat bersama pemimpin setempat dengan konsisten bagi memastikan pemantauan berterusan dan memastikan keberkesanan dan komitmen bersama.
“Sebagai pemimpin, kita harus bekerja rapat dengan Majlis Daerah, bukan sekadar menyalahkan mereka. Kerajaan GRS sentiasa membantu, tetapi perlu ada komitmen bersama,” katanya.
30 Tahun, Semporna Masih Sama
Selepas 30 tahun, Semporna masih jauh ketinggalan. Bandarnya terus dihantui sampah, isu sosial, dan komuniti tanpa dokumen, sedangkan pulau-pulau di sekitarnya kekal memukau dengan keindahan semula jadi.

Jika dibandingkan, kawasan pesisir lain di Malaysia seperti Lumut (Perak), Port Dickson (Negeri Sembilan), Kuala Kedah (Kedah), Kuala Perlis (Perlis), malah Pantai Klebang (Melaka) sudah lama diperkemaskan sebagai pintu masuk pelancongan.
Semporna pula, walaupun dianugerahkan pulau-pulau tercantik di dunia, gagal dimajukan pada tahap sewajarnya.
Persoalannya kini: sampai bila Semporna harus menunggu untuk benar-benar sempurna?






