JDT Juara, Berjaya Pertahankan Piala Sumbangsih Buat Kali Keempat

JDT Juara, Berjaya Pertahankan Piala Sumbangsih Buat Kali Keempat

0
SHARE

ISKANDAR PUTERI, JOHOR BAHRU – Pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 pada aksi yang berlangsung tanpa kehadiran penonton di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.

Kejayaan pasukan Harimau Selatan itu dibantu dengan jaringan pemain tengah JDT Muhammad Safawi Rasid dan pemain import dari Sepanyol Natxo Insa.

Kejayaan memenangi perlawanan pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 itu, turut memberi tiga mata penuh buat skuad Harimau Selatan dalam misi melakar sejarah merangkul kejuaraan Liga Super kali kelapan musim ini.

Pada aksi malam tadi menyaksikan skuad bimbingan Benjamin Mora memberi amaran di awal permainan menerusi rembatan lencong Leandro Velazques yang menggegar palang pasukan pelawat pada minit keempat, sebelum percubaan Gonzalo Cabrera turut dinakan palang tujuh minit kemudian.

KDA FC yang bergelut mencipta gerakan bagaimanapun hampir mengejutkan pasukan tuan rumah apabila rembatan akrobatik pemain import Tchetche Kipre pada minit ke-19, hanya menyinggah palang tatkala penjaga gol JDT Mohd Farizal Marlias sudah tertewas di posisinya.

JDT akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-34, selepas Muhammad Safawi menerima hantaran rakan sepasukan Mohd Aq Fazail untuk melepaskan rembatan deras, menewaskan penjaga gol KDA FC Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim, sekali gus mencetak nama sebagai penjaring sulung kempen Liga-M 2021.

Natxo meletakkan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu di kedudukan selesa, apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-67 selepas percubaan dari luar kotak penalti beliau terkena kaki pemain tengah Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik, sebelum menerjah jaring.

KDA FC yang turun dengan misi membalas dendam selepas tewas di pentas sama edisi lepas, terus memberikan tentangan sengit sehingga ke penghujung permainan, namun kekebalan barisan pertahanan JDT menyaksikan benteng terakhir skuad Harimau Selatan sukar dibolosi.

Perlawanan malam ini juga cukup signikan buat peminat JDT, apabila dapat menyaksikan kelibat pemain seperti Muhammad Safawi yang dipinjamkan ke kelab profesional Portugal Portimonense S.C musim lepas, selain penampilan semula bekas perancang tengah pasukan itu Muhammad Saq Rahim, yang menyertai JDT semula musim ini.

JDT akan meneruskan saingan Liga Super menentang pendatang baharu Penang FC, sementara KDA FC akan melayani kunjungan Sabah, pada Selasa depan.