PERINGATAN UTAMA PM MUHYIDDIN BERHUBUNG PERKEMBANGAN TERKINI COVID-19 DALAM NEGARA

PERINGATAN UTAMA PM MUHYIDDIN BERHUBUNG PERKEMBANGAN TERKINI COVID-19 DALAM NEGARA

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin memaklumkan bahawa kerajaan tidak mempertimbangkan kemungkinan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau perintah berkurung di seluruh negara, katanya menerusi perutusan khas, hari ini.

Beliau berkata demikian kerana peningkatan kes harian COVID-19 terus meningkat kepada tiga (3) digit yang mana membinbangkan seluruh rakyat di Malaysia.

Menurutnya, ekonomi dan sosial penduduk di negara ini bakal menerima ‘tempias’ amat besar sekiranya ia dilaksanakan semula.

“Jika dilaksanakan sekali lagi, ia akan bawa kesan besar, runtuhkan sistem sosial dan ekonomi negara, nauzubillah.

“Tetapi sekarang kita laksaanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di kawasan yang ada kes COVID-19 tinggi,” katanya.

Memetik ucapan Perdana Menteri, walaupun peningkatan kes baharu COVID-19 yang meningkat ini terutamanya di Kedah dan juga Sabah disebabkan tahanan penjara serta Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari negara jiran yang menjangkiti rakyat di Malaysia, beliau turut mengakui kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung baru-baru ini juga telah menjadi antara punca peningkatan kes positif baru wabak virus tersebut..

Namun, beliau memaklumkan PRN Sabah tidak dapat dielakkan selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah menerima cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini tidak dapat dielakkan kerana kita tertakluk dengan peruntukan perlembagaan, PRN kena diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan…

“Ini tidak boleh ditangguh. Kita sedar, SPR sudah tetapkan SOP tertentu bagi memastikan wabak tidak merebak angkara kempen PRN. Tapi malangnya ada SOP yang tidak dipatuhi, misalnya penjarakan fizikal. Ketika turun berkempen, penjarakan fizikal kurang dipatuhi.

“Walaupun hampir keseluruhan pakai pelitup muka, tapi masih duduk bersesak,” jelas beliau.

Pada masa yang sama, beliau menggesa semua pihak supaya tidak menyebarkan berita palsu berkaitan COVID-19 yang boleh mengakibatkan rakyat keliru.

Ini kerana sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan khususnya menerusi sidang (mesyuarat) khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan COVID-19 adalah berasaskan kepada data dan fakta yang dikumpul menerusi sumber yang berautoriti.

“Yang penting ialah kita mesti bersama-sama dalam mengharungi keadaan yang sukar pada masa ini. Elakkan penyebaran berita-berita palsu yang boleh menyebabkan kita keliru,” jelas beliau.

Beliau juga turut memberi peringatan kepada semua rakyat Malaysia untuk tidak memperdulikan sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan masalah COVID-19 dalam negara ini.

“Yang penting ialah kita tidak mudah menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak. Saya tahu ada pihak yang sengaja menangguk di air keruh pada waktu ini dengan mempolitikkan masalah yang dihadapi oleh negara..Jangan kita pedulikan mereka.

“Kita mesti fokus kepada masalah pandemik ini bersama-sama,” kata Perdana Menteri.