JHEWA Komited Mengarusperdanakan Kesaksamaan Gender

JHEWA Komited Mengarusperdanakan Kesaksamaan Gender

0
SHARE
James
James (tiga dari kanan) menerima cenderamata yang disampaikan oleh Haslina (tiga kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) komited mengarusperdanakan kesaksamaan gender secara berterusan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, sebanyak 12 individu ditauliahkan sebagai Jurulatih Sabah Gender Focal Point (SGFP) bagi merealisasikan usaha tersebut.

“Usaha JHEWA melatih dan mentauliahkan Jurulatih SGFP bertujuan mewujudkan duta atau agen perubahan yang kita yakin akan menyumbang kepada tadbir urus organisasi, komuniti serta negara yang lebih baik dengan pengagihan sumber dibuat secara saksama dalam memenuhi keperluan wanita dan lelaki.

“Jurulatih ini akan menjadi pendokong aspirasi kerajaan berteraskan kefahaman, kapasiti dan keupayaan yang berkaitan gender dalam usaha merealisasikan Dasar Wanita Negara.

“Selain itu, membantu meningkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan gender dalam sektor awam, swasta, pemimpin akar umbi dan masyarakat amnya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pentauliahan ‘Train The Trainer’ Sabah Gender Focal Point di salah sebuah hotel di sini.

James turut menyatakan KPMKR akan terus bekerjasama dengan JHEWA menyahut inisiatif pemerkasaan Wanita Madani dan menyokong usaha kerajaan dalam mewajibkan pelantikan 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan di peringkat perkhidmatan awam, sektor swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Cara pandang masyarakat tentang kesaksamaan gender wajar diperluaskan kerana kesaksamaan bukanlah bermaksud lelaki dan wanita punya hak dan keperluan yang sama rata.

“Asasnya pengkelasan berdasarkan gender dan status adalah perlu dilihat dan diterangkan secara terperinci bagi mengecapi kebaikan bersama dalam bermasyarakat,” ujarnya.

Majlis tersebut menyaksikan seramai 12 individu terdiri daripada Ketua Penolong Pengarah, Pegawai Tadbir, para Penolong Pegawai Daerah dan Arkitek jabatan dan agensi ditauliahkan sebagai Jurulatih SGFP.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KPMKR, Maria Chong, Pengarah Jhewa, Haslina Ismail dan Master Trainer DTEC Konsultan Dinamika Sdn Bhd, Datuk Dr. Tengku Naufal Tengku Mansor. — JABATAN PENERANGAN SABAH