Belum Ada Kerjasama ‘Tulen’ Antara GRS-PH Plus – Ewon

Belum Ada Kerjasama ‘Tulen’ Antara GRS-PH Plus – Ewon

0
SHARE
Datuk Ewon Benedick, Presiden UPKO

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick memaklumkan setakat ini belum ada kerjasama ‘tulen’ yang ketara antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Katanya, perkara itu ketara dapat dilihat khususnya di peringkat akar umbi.

“Saya berterus terang, bagi kami di Pakatan Harapan (PH) Sabah, kami belum melihat kerjasama itu diterjemahkan di peringkat daerah dan akar umbi. 

“Akar umbi inilah yang akan menilai sejauh mana keikhlasan kerjasama yang telah dimulakan sejak tahun lepas,” katanya ketika ditemui media di sini, Ahad lalu (18 Feb).

Justeru itu, katanya, beliau menyerahkan kepada pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan negeri termasuk dua wakil PH dalam kabinet Sabah bagaimana menterjemahkan ini di peringkat akar umbi supaya kerjasama itu tulen. 

“Bukan hanya berlaku di peringkat atasan tetapi mesti diterjemahkan juga di peringkat bawahan,” katanya.

Ewon ketika mengulas keyakinan beliau terhadap kerjasama GRS-PH itu berkata, kerjasama ini sedang berlangsung tetapi perlu diperkasakan lagi.

“Ertinya keyakinan saya untuk menyokong Ketua Menteri sudah bermula sejak saya mempertahankan beliau semasa krisis politik awal tahun lepas. 

“itu adalah komitmen dan kesediaan saya untuk menyokong beliau, tetapi ini mesti diterjemahkan kepada kerjasama sebenar di peringkat akar umbi,” tegasnya.