KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dalam skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di Sabah, seperti yang dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini.
Dalam satu kenyataan media rasmi, Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan bermotif jahat.
“Saya menafikan sepenuhnya tuduhan tersebut. Ia adalah satu laporan yang tidak bertanggungjawab dan jelas berniat untuk mencemarkan reputasi saya sebagai pemimpin negeri,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, tindakan itu dilihat sebagai cubaan terancang untuk menjatuhkan imej dan kredibiliti dirinya, namun beliau menegaskan tidak akan terjejas atau terganggu dengan sebarang usaha untuk menggugat fokusnya dalam menjalankan tugas sebagai Ahli Kabinet Negeri dan ADUN Kundasang.
Joachim turut menyeru agar semua ahli PBS dan penyokong parti agar kekal tenang dan tidak terpengaruh dengan provokasi politik.
“Saya menyeru semua agar kekal bersatu dan fokus kepada perjuangan untuk rakyat. Masih banyak yang perlu kita laksanakan demi kemajuan negeri yang kita cintai,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas sokongan dan kepercayaan rakyat, serta menegaskan akan menghadapi situasi ini dengan jiwa yang tenang dan hati yang bersih.
Kenyataan Joachim hadir susulan laporan media yang cuba mengaitkan beberapa pemimpin Sabah dalam isu berprofil tinggi berkaitan aktiviti perlombongan, yang kini menjadi tumpuan umum di peringkat negeri dan nasional.






