Kadar Zakat Fitrah Tahun Ini di Sabah, RM7.50 Seorang

Kadar Zakat Fitrah Tahun Ini di Sabah, RM7.50 Seorang

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun 1445 Hijrah bersamaan tahun 2024 Masihi di Sabah ialah, RM7.50 ke atas setiap umat Islam yang bermastautin di negeri ini.

Perkara itu diisytiharkan oleh Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam (MUIS), Datuk Seri Yahya Hussin di sini, hari ini.

Beliau berkata, kadar ini adalah berasaskan sukatan satu gantang baghdad atau bersamaan 2.7 kilogram (kg) beras yang dimakan oleh majoriti penduduk negeri Sabah. 

Sementara itu, katanya, jumlah pungutan zakat fitrah pada tahun lalu, 2023 bersamaan 1444H ialah berjumlah, RM11,251,061.26.

“Jumlah pembayar zakat fitrah pada tahun lalu adalah seramai 1,607,201 orang, iaitu meningkat sebanyak 2.99 peratus berbanding tahun 2022, 1443H.

“Bagi agihan zakat pula, pada tahun lalu Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS telah berjaya membuat agihan kepada asnaf sebanyak RM140,953,600.96 untuk 110,459 orang asnaf.

“Manakala lebihan yang tidak sempat diagih pada hujung tahun lalu telah mula diagih pada awal tahun ini,” katanya ketika mengisytiharkan kadar zakat fitrah negeri Sabah bagi tahun ini.

Tambah beliau, tahun ini, pihaknya mensasarkan pungutan zakat dan fitrah sebanyak RM156,725,000.

“Dimana pungutan zakat fitrah dijangka berjumlah RM11,725,000, manakala pungutan zakat harta dijangka berjumlah RM145 juta,” katanya.