KOTA KINABALU: Lima mangsa rentung dalam kejadian kebakaran rumah setinggan di Jalan Lembaga Pagi, Lorong Burung Keleto, Likas tengah hari tadi.
Dilaporkan, kelima-lima mangsa yang rentung itu dianggarkan berusia tiga hingga 14 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.47 tengah hari.
“Seramai 48 anggota pasukan Bomba dari BBP Lintas, Kota Kinabalu dan Putatan telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.
“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah jenis tidak kekal dengan keluasan keseluruhan 70×80 kaki terbakar 100 peratus termasuk satu stor dan satu kedai runcit.
“Turut terlibat dua buah kenderaan terbakar 100 peratus” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tambahnya, operasi pemadaman kebakaran menggunakan satu aliran 400 kaki empat pancutan sumber air dari jentera bomba dan pili bomba berhampiran.
Operasi terkawal pada jam 1.29 petang bagaimanapun, operasi pemadaman bara-bara api masih diteruskan.
Agensi lain yang turut bersama dalam operasi ini adalah, 20 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 4 anggota SESB, 4 KKM dan 8 APM.






