KOTA KINABALU, SABAH – Upacara Pentauliahan Littoral Mission Ship (LMS) Keempat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kapal Diraja RENCONG, telah disempurnakan di Jeti Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Sabah pagi tadi.
Upacara telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Dalam upacara tersebut, beliau telah membacakan Perintah Pentauliahan sebagai simbolik kepada Pentauliahan Kapal dan turut memakaikan insignia Pegawai Memerintah kepada Komander Khairuddin Ahmad Hassan.

Dalam ucapannya, Reza berkata, KD RENCONG telah mula dibina pada 19 September 2019 di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base, Wuhan dan seterusnya dilancarkan ke permukaan air pada 16 Disember 2020.
“KD RENCONG telah dinamakan pada 18 Disember 2021 oleh Puan Sutinah Mohamad, isteri Ketua Pasukan Projek LMS TLDM.
“Manakala Penyerahan Fizikal kapal telah disempurnakan pada hari yang sama oleh Laksamana Pertama Zahid bin Aziz, Penasihat Pertahanan di China bagi mewakili Kerajaan di Limbungan Wuchuan, Pelabuhan Wucang, Qidong, Nantong City, China,” katanya.
KD RENCONG telah melaksanakan pelayaran pulang ke Malaysia pada 21 Disember 2021 dan selamat tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) pada 28 Disember 2021 selepas mengharungi pelayaran sejauh 1811 batu nautika.

“Sebagaimana KD KERIS, KD SUNDANG dan KD BADIK, KD RENCONG akan diletakkan di bawah operasi dan pentadbiran Panglima Armada Timur bagi menguatkan lagi pengawasan maritim Malaysia terutamanya di perairan Malaysia Timur…
“LMS merupakan salah sebuah daripada lima (5) kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5 TLDM.
“Kontrak perolehan 4 buah LMS telah dimeterai di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC),” jelas beliau.
Selain itu beliau berkata Projek Perolehan itu merupakan aset pertahanan kapital yang pertama daripada negara China.
“Kesemua empat (4) buah LMS telah diserahkan kepada Kerajaan,” ujarnya.





