Karnival Kita MADANI Salur Maklumat Inisiatif, Dasar Kerajaan

Karnival Kita MADANI Salur Maklumat Inisiatif, Dasar Kerajaan

0
SHARE
Arifin
Jainisah (empat dari kanan) menyerahkan watikah penubuhan kepada wakil Komuniti MADANI ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Karnival Kita MADANI menjadi platform menyalurkan maklumat inisiatif dan dasar kerajaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd. Arif berkata, pengunjung boleh mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan melalui pempamer-pempamer yang turut serta dalam program tersebut.

“Seperti yang kita sedia maklum, program-program berkaitan hubungan komuniti amat penting dan memberi kesan positif.

“Komuniti merupakan medium pengantara paling mudah dan berkesan serta mampu menyampaikan maklumat dengan cepat dalam kelompok yang besar.

“Melalui program bersama komuniti seperti karnival hari ini, maklumat berkaitan dasar kerajaan mahupun program pembangunan kerajaan akan dimaklumkan.

“Yang sangat penting, kita dapat mengetahui dasar dan program yang akan dan telah dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di pekarangan Dewan Terbuka Membakut, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ariffin turut menyeru penduduk setempat untuk bersama-sama berusaha meningkatkan semangat patriotik agar kehangatan sambutan dapat dirasai menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berasa bertuah dan bersyukur atas kemerdekaan dan atas usaha bersungguh-sungguh kerajaan dalam mengisi kemerdekaan.

“Kita terjemah dalam program-program kita dan yang disusun oleh kementerian dan semua jabatan yang terlibat,” ujarnya.

Karnival anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sabah itu berlangsung selama tiga hari bermula Khamis melibatkan 40 pempamer dan 67 usahawan serta pelbagai pengisian menarik antaranya pertandingan e-sport, Majlis Tahlil dan Doa Selamat, Jualan Rahmah, Malam Simfoni Jiwa Merdeka dan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 ke destinasi seterusnya.

Turut diadakan, penyerahan watikah penubuhan rasmi Komuniti MADANI dan sijil pelantikan bagi Parlimen Kimanis dan Beaufort dan penyampaian dana Skim Jaya Usahawan Belia Sabah.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pegawai Daerah, Ibrahim Terki dan Ketua Polis Daerah, Ismail Abdullah. — JABATAN PENERANGAN SABAH