SANDAKAN: Kawasan Konservasi Sungai Pin (SPnCA) di Kinabatangan yang kurang dikenali menarik perhatian peminat burung dan pencinta alam semula jadi sempena Festival Burung Borneo di Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC), di sini.
Festival selama dua hari yang berakhir pada Ahad (26 Okt) itu menghimpunkan pencinta alam, penyelidik dan kumpulan pemuliharaan bagi meraikan kepelbagaian burung di Borneo, dengan SKG Green Sdn Bhd antara pempamer yang mengetengahkan spesies jarang ditemui di SPnCA.
Meliputi kawasan seluas 2,632 hektar hutan riparian dan tanah gambut, SPnCA menjadi habitat kepada 28 spesies burung dilindungi termasuk enggang mahkota putih (Berenicornis comatus), enggang berkerut (Rhabdotorrhinus corrugatus) dan bangau Storm (Ciconia stormi) yang disenaraikan sebagai terancam.
Kawasan ini turut menjadi tempat perlindungan bagi spesies enggang badak (Buceros rhinoceros) dan enggang pied timur (Anthracoceros albirostris) yang tersenarai sebagai spesies rentan.
Terletak di sepanjang 30 kilometer Sungai Kinabatangan, kawasan konservasi ini berfungsi sebagai koridor penting yang menghubungkan Hutan Simpan Pin Supu dengan Santuari Hidupan Liar Lembah Kinabatangan bagi memudahkan pergerakan burung dan hidupan liar lain.
Pengunjung ke reruai SKG Green turut didedahkan dengan usaha berterusan syarikat itu dalam pemuliharaan SPnCA, sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk mengimbangi pengeluaran kelapa sawit dengan pemeliharaan biodiversiti.
Ketua Pegawai Eksekutif SKG Green, Philipa Datuk Wilfred Mojilis berkata kawasan konservasi itu melambangkan harapan untuk kelangsungan pelbagai spesies jarang ditemui sambil membuktikan bahawa pemuliharaan dan pertanian lestari boleh wujud seiring jika diurus secara bertanggungjawab.
Selain burung, SPnCA juga menjadi habitat kepada 17 spesies mamalia dilindungi termasuk orang utan Borneo, monyet probosis dan tenggiling Sunda, serta lebih 500 spesies tumbuhan yang kebanyakannya endemik di Borneo.
Penyertaan SKG Green dalam festival itu menggambarkan komitmen berterusan syarikat tersebut dalam mempromosikan inisiatif pemuliharaan serta memperkukuh usaha ke arah menjadikan SPnCA sebagai destinasi alam semula jadi dan pelancongan lestari di Sabah.






