Rakyat Sabah Dipelawa Sertai Ujibakat MCOPA

Rakyat Sabah Dipelawa Sertai Ujibakat MCOPA

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat Sabah, terutama sekali penggiat industri kreatif dipelawa untuk menyertai sesi ujibakat bagi pertandingan ‘Malaysia Championships Of Performing Arts (MCOPA)’.

Sesi ujibakat itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) selama dua hari bermula 29 Oktober ini, pada jam 10 pagi.

Pengarah pasukan kebangsaan WCOPA/MCOPA Jasni Mohd Yaakub dan Asmi Datuk Andi Yakin dalam kenyataan bersama berkata, ujibakat itu akan memilih peserta terbaik dan berbakat untuk mewakili negara pada tahun 2023 ke pertandingan World Championships Of performing Arts (WCOPA).

Katanya, pihaknya menyasarkan seramai 50 peserta untuk mewakili Malaysia ke WCOPA pada tahun hadapan meliputi pelbagai kategori dan peringkat usia.

“Pertandingan ini adalah terbuka kepada semua peringkat usia iaitu Junior meliputi usia lima hingga 10 tahun dan 11 hingga 15 tahun manakala bagi senior pula meliputi usia 16 hingga 24 tahun dan ke atas.

“Peserta akan bertanding dalam kategori vokal,tarian, instrumental, model, lakonan dan pelbagai seni industri kreatif. Untuk solo, duet dan kumpulan kecil, jumlah peserta adalah antara tiga hingga lapan orang manakala kumpulan pula adalah seramai sembilan dan ke atas,” kata kenyataan itu.

Selain di Sabah, ujibakat turut diadakan di Pulau Pinang pada 19 November depan bertempat di 1st Avenue Mall Penang. Manakala ujibakat di Sarawak; Johor Bahru dan Kuala Lumpur akan dimaklumkan kemudian.

“WCOPA merupakan kejohanan Olimpik dalam seni persembahan dan ianya merupakan platform bagi penggiat industri kreatif yang bercita-cita untuk mengembangkan bakat ke peringkat antarabangsa…

Katanya, WCOPA itu turut melibatkan lebih 70 buah negara dari seluruh dunia yang akan berentap di acara tahunan yang diadakan di Hollywood America Syarikat.

Sementara itu, Asmi berkata, peserta yang berminat untuk menyertai pertandingan itu bolehlah mendaftar menerusi atas talian di https://bit.ly/3SxQ2Fg.

“Bagi pendaftaran awal menerusi atas talian, yuran penyertaan bagi solo adalah RM100; duet (RM200) dan kumpulan (RM300) manakala pendaftaran di tapak lokasi ialah solo (RM130); duet (RM260) dan kumpulan (RM290).

“Hadiah bernilai lebih RM25,000 akan ditawarkan diperingkat akhir MCOPA dan beberapa Boothcamp akan diadakan untuk pada peserta MCOPA dan WCOPA. Peserta yang terpilih akan menjalani latihan intensif selama dua bulan sebelum mereka bersaing di Hollywood nanti,” katanya.

MATME Management merupakan pemegang Exclusive Rights di Malaysia untuk membawa pasukan Malaysia ke WCOPA manakala AJ Productions Sdn Bhd merupakan pasukan pelaksana bagi ujibakat di Sabah.