Kerajaan Sabah Setuju Lakukan Pembenihan Awan

Kerajaan Sabah Setuju Lakukan Pembenihan Awan

0
SHARE

PAPAR: Kerajaan negeri Sabah bersetuju untuk melakukan proses pembenihan awan bagi tujuan menghadapi dan mengatasi cuaca panas yang melanda di negeri ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, perkara itu sudah pun dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri pada Rabu. 

“Dalam mesyuarat itu, Kabinet negeri bersama Ketua Menteri juga bersetuju melakukan pembenihan awan bagi mencetuskan hujan di kawasan hulu berbukit yang menjadi tempat tadahan air yang membekalkan air kepada sungai dan seterusnya boleh memberi bekalan air kepada loji di negeri ini.

“Pembenihan awan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui media selepas melawat Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau di sini, hari ini.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, pihak jabatan daerah, Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri serta jawatankuasanya bersama Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan melihat kebolehlaksanaan pembenihan awan tersebut.

“Jadi memang kita minta ia dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan kemarau yang berlaku ini adalah berpanjangan dan kita menjangkakan dalam dua bulan lagi keadaan ini berterusan,” jelasnya.