KDM Mungkin Letak Calon Cina dalam PRN – Wetrom

KDM Mungkin Letak Calon Cina dalam PRN – Wetrom

0
SHARE

TAWAU: Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Wetrom Bahanda, membayangkan parti itu akan meletakkan calon berbangsa Cina di kawasan majoriti Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, ramai masih salah faham perjuangan sebenar KDM yang dianggap hanya mewakili komuniti Kadazan Dusun Murut (KDM).

“Persepsi itu tidak tepat… KDM ialah Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat yang terbuka kepada semua kaum,” katanya semasa melancarkan jentera pilihan raya N69 Sri Tanjung pada Ahad.

Wetrom, yang juga Pengarah Pilihan Raya KDM, berkata selain Sri Tanjung, terdapat beberapa pemimpin Cina dari kawasan lain yang menjemput KDM bertanding. Pucuk pimpinan sedang meneliti perkara itu dan tidak menolak kemungkinan calon Cina akan diketengahkan.

Beliau turut menegaskan KDM akan bertanding secara bersendirian dan tetap bersemangat meskipun berdepan parti dari Sabah dan Semenanjung.

“Kita bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Mengenai isu Ambalat, Wetrom berharap kerajaan negeri Sabah diberi peranan dalam proses rundingan sebelum keputusan dibuat.

Turut hadir ialah Naib Presiden Gundohing Henry Saimpon, Dr Gaim James Lunkapis, Dr Oswald Aisat, Jumardie Lukman; Setiausaha Agung Willie Jude; Ketua Bahagian Pensiangan Jackrison Kilan; dan Penyelaras DUN Sook Gundohing Edward Kandok.