KOTA KINABALU, SABAH – Kelab malam dan pusat karaoke berlesen dibenarkan beroperasi semula mulai hari ini (Sabtu).
Namun, tari menari tidak dibenarkan buat masa ini.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara syarat lain ialah mereka yang memasuki premis tersebut hendaklah telah lengkap divaksin dan telah menerima dos penggalak.
“Pemeriksaan mengenai tahap risiko dan imbasan MySejahtera adalah diwajibkan sebelum memasuki kelab malam atau pusat karaoke,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Dalam pada itu, katanya pertambahan jumlah jangkitan yang berpunca daripada aktiviti-aktiviti sambutan perayaan mula menepati ramalan awal.
Jumlah kes baharu bagi Sabah melonjak kepada 78 kes semalam iaitu 21 kes lebih tinggi daripada hari sebelumnya dan merupakan perningkatan hampir 37 peratus.
“Sebanyak 12 daerah mencatatkan pertambahan jangkitan baharu berbanding sembilan (9) daerah yang merekodkan penurunan kes…
“Angka jangkitan harian di Kota Kinabalu dan dan daerah-daerah sekitar bandaraya di jangka kekal tinggi atau bertambah sehingga minggu pertama bulan Jun,” jelasnya.
Namun demikian, hanya dua (2) kes dilaporkan berada dalam Kategori 3.