KKM Bekalkan Paxlovid Untuk Persediaan Jemaah Haji

KKM Bekalkan Paxlovid Untuk Persediaan Jemaah Haji

0
SHARE
Pil antiviral COVID-19 Paxlovid...

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) membekalkan sekurang-kurangnya 3,000 ubat antiviral Paxlovid sebagai persediaan merawat jemaah haji yang dijangkiti COVID-19 semasa berada di tanah suci.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang dipetik Bernama berkata, petugas perubatan akan menilai kesesuaian pesakit sebelum ubat itu diberikan kepada jemaah yang positif COVID-19.

“Selain rawatan ubat ini, langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi akan dipertingkat bagi mengawal penularan wabak ini dan penyakit berjangkit yang lain,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata bagi membiayai perbelanjaan perkhidmatan kesihatan jemaah haji Malaysia tahun ini, kerajaan telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM5 juta yang merangkumi perolehan ubat-ubatan dan alat perubatan serta tambang penerbangan dan elaun petugas perubatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar…

“KKM juga ingin menyarankan agar semua bakal jemaah haji terutama individu berumur 60 tahun dan ke atas dan individu dewasa berumur 18 tahun hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk untuk mengambil peluang mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke tanah suci,” katanya.

Beliau berkata pengambilan vaksin dos penggalak kedua adalah secara sukarela.

Selain itu, Khairy berkata seramai 255 petugas perubatan akan dihantar bagi membantu pengoperasian ibadah haji tahun ini.

Mereka terdiri daripada 128 petugas berpengalaman yang menyertai operasi sebelum ini manakala 127 lagi adalah petugas baharu.

Katanya kumpulan petugas perubatan itu terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan seperti perubatan, farmasi, jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan penjagaan kerohanian bagi membantu Tabung Haji melancarkan perjalanan ibadah haji pada tahun ini