Mangsa Terjejas Banjir Di Sabah Terus Menurun Kepada 196 orang, Libatkan Daerah...

Mangsa Terjejas Banjir Di Sabah Terus Menurun Kepada 196 orang, Libatkan Daerah Tongod, Kinabatangan

0
SHARE
Foto: Ihsan APM Sabah

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa terjejas banjir yang dipindahkan Ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus menurun kepada 196 orang hingga ke hari ini dan hanya tinggal melibatkan dua daerah, iaitu Tongod dan Kinabatangan.

Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan hari ini turut memaklumkan hanya tinggal tiga PPS yang aktif termasuk PPS Sekolah Kebangsaan Keramuak, PPS Sekolah Kebangsaan Kenang-Kenangan dan PPS Sekolah Agama Rendah, Pekan Bukit Garam, Kinabatangan. 

Tambah kenyataan itu lagi, daripada keseluruhan jumlah mangsa banjir tersebut, 155 mangsa banjir di daerah Tongod dan 41 mangsa banjir bagi daerah Kinabatangan yang turut melibatkan sebanyak 42 Ketua Isi Rumah (KIR) bagi kedua-dua daerah ini. 

Sebelum ini, jumlah mangsa banjir di Sabah telah mencecah hingga lebih 5,000 ribu yang melibatkan 10 daerah terjejas termasuk Beaufort, Kota Marudu, Tongod, Telupid, Sandakan, Kota Belud, Lahad Datu, Beluran, Paitan, Pitas dan Kinabatangan.

Antara 10 daerah terjejas banjir, daerah Kota Marudu dan Pitas merupakan daerah yang diliihat terjejas teruk sekali gus mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai.

Begitupun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan sepanjang tempoh bencana banjir berlaku di negeri ini.

Pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) telah berhempas pulas sama-sama menyumbang, masa tenaga dan wang ringgit dalam usaha membantu menyelamatkan mangsa-mangsa terjejas banjir termasuk pemindahan mangsa ke PPS, seperti agensi Bomba, APM, PDRM dan sebagainya.