Kerajaan Diminta Selesai Isu Tanah Runtuh Berhampiran Menara SESB Di Jalan Kg...

Kerajaan Diminta Selesai Isu Tanah Runtuh Berhampiran Menara SESB Di Jalan Kg Tombovo

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pihak kerajaan di minta tampil dalam menyelesaikan isu tanah runtuh berhampiran tapak menara talian penghantaran SESB di jalan Kampung Tombovo, Putatan.

Banyak aduan sudah dilakukan sama ada melalui penduduk setempat maupun JPKK/MPKK sejak beberapa tahun ini namun tiada tindakan penyelesaian jangka panjang yang dilakukan oleh SESB.

Menurut ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah, apa yang dilakukan oleh SESB hanyalah meletakkan kanvas untuk melindungi lereng bukit yang runtuh.

“Kanvas ini tidak akan mengelakkan hakisan tanah tersebut pada musim hujan kerana ia bertindak sebagai prevention measure jangka pendek…

“Saya mendapat laporan dari penduduk kampung yang runtuhan baharu berlaku semalam dan kanvas tersebut sudah terbuka.

“Situasi ini amat membimbangkan kerana kedudukan tiang menara tersebut terletak hanya beberapa meter dari kawasan runtuhan tersebut,” ujar beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Parti Warisan.

Awang turut menambah, malapetaka mungkin akan berlaku jika menara tersebut tumbang. Ini akan mengakibatkan bekalan elektrik terputus pada skala besar.

Lokasi ini terletak betul-betul ditepi jalan yang merupakan jalan pintas dari jalan Penampang – Papar ke Putatan yang mempunyai kepadatan penduduk lebih dari 3 ribu orang selain berhampiran dengan kem Lok Kawi.

“Memandangkan banyak aduan sudah dibuat tapi tiada tindakan yang holistik daripada pihak SESB, makanya pihak kerajaan harus masuk campur untuk kebaikan bersama,” tegas Awang.