
KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya mengutip RM3.83 billion hasil negeri setakat 31 Ogos tahun ini.
Kadar ini mencapai prestasi 120 peratus, iaitu melebihi sasaran yang telah ditetapkan dalam tempoh tersebut.
Di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, persetujuan pembayaran cukai jualan ke atas produk petroleum oleh Petronas dapat dicapai selepas rundingan bersama bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tahap kewangan kerajaan yang kukuh adalah antara pemboleh daya untuk mencapai objektif pembangunan…
“Setakat ini, sejumlah RM1.25 billion telah dikutip melalui cukai ini, meliputi kutipan berjumlah RM177.88 juta pada tahun 2020 dan sebanyak RM1.07 billion telah berjaya dikutip setakat bulan Ogos bagi tahun semasa 2021,” jelas Hajiji dalam ucapan beliau.
Katanya untuk memastikan kerajaan mempunyai peruntukan kewangan yang mencukupi, kerajaan sentiasa berusaha mencari sumber pendapatan baharu sebagai tambahan kepada sumber-sumber sedia ada melalui strategi percukaian, aktiviti penjanaan hasil dan pertumbuhan ekonomi.
Hajiji berkata di samping cukai tersebut, Kerajaan juga mensasarkan kutipan pembayaran dividen oleh Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) sebanyak RM100 juta pada tahun 2021.
Agensi serta syarikat yang mengisytiharkan keuntungan pada penghujung tahun perlu membayar minimum 10% dividen selaras dengan polisi dividen yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
Sehingga September 2021, sebanyak RM25.72 juta dividen telah dikutip dan dijangka sasaran ini akan dapat dicapai menjelang penghujung tahun.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan kepentingan kesepakatan hubungan antara Negeri Sabah dan Persekutuan Negara.
Beliau yakin isu MA63 dan hubungan di antara negeri dan persekutuan akan dapat ditangani satu persatu atas semangat kekitaan sebagai sebuah ‘Keluarga Malaysia’.
“Kita perlu sentiasa positif bahawa sebarang perbezaan dan pertembungan kepentingan akan dapat dirungkai melalui rundingan dan permuafakatan…
“Retorika politik untuk meraih populariti bukanlah jawapan, dan jauh sekali membawa nilai dan makna kepada agenda perjuangan.
“Insya Allah, kita optimis, selagi mana kita mengutamakan citra kekeluargaan lebih daripada segala kepentingan lain, isu-isu tertangguh yang melingkari hubungan antara negeri dan persekutuan akan menemui titik kesepakatan demi kelestarian tanah air tercinta,” kata Ketua Menteri.