Kerajaan Negeri Putuskan Sekatan Pergerakan Keluar Masuk Sabah-Labuan Dikuat Kuasakan

Kerajaan Negeri Putuskan Sekatan Pergerakan Keluar Masuk Sabah-Labuan Dikuat Kuasakan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan sekatan pergerakan keluar masuk antara Sabah dan Labuan akan berkuat kuasa serta-merta.

Kerajaan negeri Sabah memutuskan keputusan ini susulan daripada kewujudan COVID-19 varian India yang dikesan di Wilayah Persekutuan itu.

Menteri Kerajaan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata pengecualian yang diberikan melibatkan pergerakan perkhidmatan dan barangan perlu, keselamatan dan kesihatan atau perubatan serta telah mendapat kebenaran khas.

“Pengangkutan feri awam juga hanya bagi keperluan perkhidmatan perlu dan barangan perlu sahaja. Permohonan kebenaran (pergerakan Sabah dan Labuan) bagi pasangan jarak jauh juga tidak akan dipertimbang bermula 28 Mei hingga 7 Jun,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau yang juga Jurucakap Rasmi erkaitan COVID-19 Sabah berkata, faktor utama peningkatan kes baharu positif COVID-19 di Sabah ialah kegagalan orang awam dan pemilik premis perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama pemakaian pelitup muka.

“Sehubungan itu, pemilik dikehendaki mempamerkan SOP COVID-19 di setiap premis perniagaan masing-masing…

“Mana-Mana premis yang mempunyai peralatan hebahan perlu memberi peringatan kepada pelanggan mereka untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Hebahan berkala ini dilakukan dalam setiap satu jam,” katanya.

Masidi turut berkata pihak berkuasa tempatan akan membekalkan poster ke setiap premis untuk dipamerkan yang mengandungi nombor telefon aduan dan boleh dihubungi orang awam jika berlaku ketidakpatuhan SOP.

“Pihak penguatkuasa juga akan sentiasa membuat rondaan bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya,” kata beliau.

Mengulas perkembangan COVID-19, Masidi berkata Sabah kelmarin (Rabu) mencatatkan sebanyak 229 KES baharu yang mana menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 61,057 kes, manakala kes sembuh dan dibenarkan keluar hospital adalah seramai 81 orang dan ini menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah ialah 58,968 orang.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 26 Mei 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)