Kerajaan Negeri Sedia Pelan Jangka Masa Panjang, Pendek Atasi Isu Bekalan Air...

Kerajaan Negeri Sedia Pelan Jangka Masa Panjang, Pendek Atasi Isu Bekalan Air Sabah

0
SHARE
Shahelmey
Shahelmey ketika di DUN Saba ( Sumber Foto: Ihsan KKR Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Kerja Raya Sabah melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menyediakan pelan jangka masa panjang dan pendek bagi mengatasi beberapa berkaitan isu bekalan air ketika musim cuaca panas yang dijangka akan melanda pertengahan tahun ini.

Menterinya, Datuk Shahelmey Yahya menjelaskan antara isu utama yang dihadapi oleh JANS ketika ini adalah kejadian paip bocor, paip usang, kecurian air, kualiti sumber air mentah semakin merosot dan permintaan air melebihi kapasiti pengeluaran.

“Bagi penyelesaian jangka masa pendek penyelesaian jangka pendek, untuk kejadian paip bocor JANS telah dan akan menawarkan kontrak penyelenggaran paip mengikut zon di seluruh negeri Sabah bagi menggantikan paip usang serta berkarat.

“Selain itu, sekiranya terdapat aduan ataupun laporan kebocoran paip atau paip pecah dari
pengguna atau orang awam, pihak JANS akan mengambil tindakan segera dalam jangka masa 24 jam agar kerja pembaikan dapat dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, beliau turut berkata kecurian air yang semakin berleluasa, mengakibatkan peningkatan Non – Revenue Water (NRW).

“Bagi mengatasi masalah ini, pihak JANS melaksanakan satu kontrak pra bayar di kawasan atau tempat yang telah dikenal pasti padat penduduk atau zon berpotensi
berlakunya kecurian air.

“Selain itu operasi bersepadu yang melibatkan pihak berwajib bagi memantau
dan menangani masalah ini agar isu kecurian air semakin berkurangan serta memberi kesedaran kepada masyarakat umum.

“Bagi isu kualiti air mentah pihak KKR Sabah dan JANS menjalinkan kerjasama dengan jabatan dan agensi lain untuk memelihara dan menjaga kawasan tadahan air melalui Majlis Sumber Air Negara” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) dalam sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shahelmey turut berkata JANS menerima permintaan bekalan air terawat yang tinggi bagi menampung permintaan domestik dan komersial atau industri setiap hari.

Sehubungan dengan itu, untuk tindakan jangka masa panjang, JANS sedang melaksanakan tiga buah projek di kawasan Kota Kinabalu dan kawasan utara.

Selain itu, Shahelmey ketika menjawab soalan tambahan Mohd Shafie mengenai bekalan air yang semakin kritikal di Sabah berkata beliau maklum dan kesal mengenai masalah terbabit.

“Saya sedar, bahawa masalah air yang berlarutan sejak sekian lama di JANS ini adalah berpunca daripada kelewatan
pelaksanaan dan juga ‘execution’ of projek-projek yang telah dirancang dan juga telah dipohon.

“Contohnya, Telibong 2 Fasa 2, ianya sepatutnya telah dilaksanakan lebih awal untuk permintaan tahun 2022 tetapi sekarang kita sudah memasuki tahun 2023, dan loji itu masih belum siap sepenuhnya.

“Apa yang mengecewakan saya setelah menjadi menteri di kementerian ini lebih kurang empat bulan, apa saya dapati banyak pelaksanaan projek ini mempunyai masalah pengurusan yang lemah.

“Saya sudah berbincang dengan beberapa orang yang berpengalaman lama di JANS dan kementerian. Kita akan mencari pendekatan untuk memperkemaskan dan mempertingkatkan sistem penyampaian dalam JANS serta kementerian,” katanya.