KAHERAH, MESIR – Kerajaan negeri meluluskan RM1.85 juta untuk membantu meringankan beban pelajar Sabah yang sedang menuntut di Mesir, Arab Saudi dan Jordan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kerajaan negeri memahami kos sara hidup tinggi yang dihadapi oleh pelajar di Timur Tengah,” katanya sambil menambah bahawa Yayasan Kebajikan Sabah dan Yayasan Sabah akan menyelaraskan bantuan terbabit.
Hajiji membuat pengumuman itu pada perhimpunan bersama pelajar Sabah yang sedang menuntut di universiti di Mesir, Jordan dan Arab Saudi anjuran Yayasan Sabah di Al-Saraya Intercontinental, Hotel City Star, di sini, semalam.
Lebih 200 orang pelajar Sabah kini sedang menuntut di beberapa negara Timur Tengah.
“Saya mahu kamu semua terus fokus pada pelajaran dan gunakan peluang ini untuk mempelajari Al-Quran dan Hadis secara mendalam.
“Dengan pemahaman yang lebih mendalam akan meningkatkan nilai intelek anda yang akan menjadi aset kepada anda apabila kembali berkhidmat kepada negara,” katanya.
Turut mengiringi beliau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Beliau turut menyaksikan penyerahan RM10,000 untuk membeli buku Wisma Perpustakaan Yayasan Sabah di sini daripada Majlis Islam Sabah (MUIS), set Hadrah bernilai RM4,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah serta set komputer kepada Persatuan Pelajar Mesir sumbangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri.
Ketua Menteri turut minum pagi bersama pelajar sebelum terbang bersama isteri dan rombongan ke Mekah untuk menunaikan umrah.
Pada 16 Mac, Ketua Menteri melawat Ekspo Dan Persidangan Keselamatan Maklumat Teluk (GISEC) di Pusat Dagangan Dunia Dubai.
Beliau diiringi oleh Safar, Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie dan ahli lembaga pengarah.





