Kerjasama Halal China-Malaysia Buka Era Baharu Perdagangan Inklusif

Kerjasama Halal China-Malaysia Buka Era Baharu Perdagangan Inklusif

0
SHARE

KOTA KINABALU: Malaysia-China Chamber of Commerce (MCCC) Cawangan Sabah bersama World Halalpreneur Council (WHC) melancarkan pakatan strategik bagi membangunkan zon ekonomi halal serantau.

Usaha itu bukan sahaja mengeratkan kerjasama antara usahawan halal Malaysia dan China, tetapi juga membuka peluang besar dalam pasaran halal China yang mempunyai lebih 30 juta penduduk Muslim.

Gabungan ini diterajui Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau, dan Presiden Pengasas WHC, Prof Dr Jeffery Yap. Ia bertujuan memacu pertumbuhan halalpreneurship merentas ASEAN dan wilayah lain secara inklusif dan mampan.

“Ia bukan sekadar kerjasama strategik, tetapi satu inisiatif penyelarasan serantau untuk menjadikan Sabah hab perniagaan halal yang terbuka kepada semua, termasuk bukan Muslim,” kata Dexter.

Menurut Dr Yap, kolaborasi ini mencerminkan visi berani MCCC dalam membina rangka kerja halal yang inklusif dan beretika, serta mencipta penanda aras global untuk pertumbuhan berasaskan nilai.

Jawatankuasa kerja lapan anggota dibentuk, diketuai Dr Yap, terdiri daripada empat wakil MCCC Sabah – Jacky Chin Thau Chung, Shawn Tan Cen Ven, Dr Gloria Chang Kee Ying dan Lanice Ng Chiew Yun – serta empat wakil WHC.

Gabungan ini akan menumpukan sembilan sektor utama ekonomi halal di 32 negara, termasuk makanan Dan minuman, perubatan, pelancongan, fesyen, kewangan, teknologi dan pendidikan.

Inisiatif ini dilihat tepat pada masanya dalam memperkukuh ekonomi halal secara menyeluruh dari Borneo ke China dan seluruh rantau ASEAN.