KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung kes kematian pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, akan dibawa semula ke Pejabat Peguam Negara esok (18 Ogos) bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, CP Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu berkata, tindakan itu dibuat selepas Pasukan Khas (Task Force) JSJ Bukit Aman selesai menjalankan siasatan tambahan terhadap kes berkenaan.
“Sehingga kini, seramai 195 saksi sudah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah. Mereka terdiri daripada pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa serta saksi lain yang berkaitan dengan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Datuk M. Kumar turut menjelaskan siasatan memberi tumpuan kepada dua aspek utama, iaitu prosiding inkues serta kemungkinan perlakuan jenayah lain seperti buli dan penularan berita palsu.
Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“PDRM memberi jaminan bahawa proses siasatan yang dijalankan adalah secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya.
PDRM menegaskan komitmen mereka untuk memastikan siasatan kes ini dilaksanakan dengan penuh integriti demi menjamin keadilan kepada semua pihak.






