Kes Bunuh Zulfarhan: Enam Bekas Penuntut UPNM Ke Tali Gantung

Kes Bunuh Zulfarhan: Enam Bekas Penuntut UPNM Ke Tali Gantung

0
SHARE

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, kesemua mereka dikenakan hukuman terbabit selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara menghidupkan semula pertuduhan asal, iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Enam tertuduh itu yang berusia 28 tahun ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Ketika membaca keputusan penghakiman sepanjang 232 perenggan lebih tiga jam, bermula jam 9.10 pagi, Hadhariah berkata, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terkhilaf apabila meminda pertuduhan.

Pertuduhan yang sepatutnya dihadapi kesemua tertuduh adalah Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah dipinda kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pertuduhan yang dipinda dan menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.