Ketepatan Mesti Atasi Kecepatan, Integriti Jadi Teras Kewartawanan – Victor

Ketepatan Mesti Atasi Kecepatan, Integriti Jadi Teras Kewartawanan – Victor

0
SHARE

KENINGAU: Pengamal media perlu mengutamakan ketepatan fakta berbanding kepantasan menyampaikan berita, selain mempertahankan integriti dan tanggungjawab profesional dalam memastikan masyarakat menerima maklumat yang sahih.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Dato’ Victor Peter Paut berkata, peranan wartawan bukan sekadar melaporkan pembangunan atau pencapaian kerajaan dan organisasi, tetapi turut menjadi jambatan penghubung antara suara rakyat dengan pihak yang membuat keputusan.

“Melalui media, pembangunan juga harus diukur melalui sejauh mana suara rakyat didengari, masalah mereka difahami dan harapan mereka diberikan perhatian.

“Apabila rakyat berhadapan dengan kesukaran, wartawan membantu membawa perkara itu ke ruang perhatian umum, manakala dasar atau program yang dilaksanakan dapat difahami dan dinilai oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Apresiasi Media Pedalaman Sabah 2026 di sini, pada Sabtu lalu.

Victor berkata, dalam dunia yang menyaksikan berita tersebar dalam beberapa saat, setiap laporan perlu berlandaskan fakta kerana kesannya boleh dirasai sehingga bertahun-tahun.

“Ketepatan mesti mengatasi kecepatan, fakta mesti mendahului andaian, dan integriti mesti sentiasa mengatasi kepentingan peribadi. Kebebasan media dan tanggungjawab profesional perlu berjalan seiring,” katanya.

Menurutnya, kritikan berasaskan fakta bukan penghalang kepada pembangunan, sebaliknya menjadi panduan untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan kepentingan maklum balas yang jujur serta komunikasi terbuka dalam membina kepercayaan, selain merakamkan penghargaan kepada warga media di Keningau dan kawasan sekitarnya atas komitmen, pengorbanan serta sumbangan mereka kepada masyarakat.