Ketua Menteri Seru Pengundi Muda Sabah Buat Pilihan Bijak Pada PRN-17

Ketua Menteri Seru Pengundi Muda Sabah Buat Pilihan Bijak Pada PRN-17

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menyeru pengundi muda di negeri ini agar membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17), dengan memberi mandat semula kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi meneruskan agenda pembangunan negeri di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menurut beliau, golongan muda kini merangkumi hampir separuh daripada 1.72 juta pengundi di Sabah, justeru memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan negeri.

“Daripada 1.72 juta pengundi, separuh daripadanya adalah orang muda. Saya harap mereka beri peluang kepada kerajaan ini untuk terus membangunkan Sabah dan memajukan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.

Hajiji menegaskan, pilihan raya kali ini adalah peluang keemasan bagi anak muda Sabah menentukan hala tuju negeri dengan memilih kerajaan yang kuat, stabil dan berteraskan parti tempatan.

“Jangan sia-siakan peluang lima tahun sekali ini. Buatlah pilihan terbaik dalam PRN-17 untuk menjamin kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. Yang paling penting, pilihlah kerajaan yang didominasi oleh parti lokal,” katanya.

Beliau turut menggesa anak muda menjadi ejen penerangan kepada rakyat, menjelaskan pencapaian dan usaha kerajaan negeri yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbirannya.

Dalam ucapannya, Hajiji turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) bagi menjamin kestabilan politik di Sabah serta hubungan harmoni dengan kerajaan Persekutuan.

“Kalau kita mahu maju, kita perlu bantuan kerajaan Persekutuan. Sebab itu GRS dan PH bersetuju untuk meneruskan kerjasama ini demi kepentingan rakyat Sabah. Jangan kita ulang kesilapan lalu bila kerajaan sering bertukar, pembangunan negeri tertangguh. Lihat sahaja projek Pan Borneo yang terbantut empat tahun selepas PDP dibatalkan oleh kerajaan baharu ketika itu,” jelasnya.

Menutup ucapannya, Hajiji menegaskan bahawa keutamaan kerajaan negeri ialah memastikan Sabah terus stabil, bersatu dan berdaya saing, khususnya dalam bidang ekonomi digital, TVET, dan teknologi baharu termasuk AI.

“Saya mahu Sabah terus maju dan makmur. Dengan kestabilan politik serta kerjasama antara negeri dan Persekutuan, insya-Allah kita dapat melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan menjadi pemacu kemajuan negeri,” katanya.