Kg Asaon Bukan Kampung Diwartakan, Mahasiswa Disaran Semak Fakta – Alexyus

Kg Asaon Bukan Kampung Diwartakan, Mahasiswa Disaran Semak Fakta – Alexyus

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dakwaan berhubung kewujudan “Kampung Asaon” di Matunggong disifatkan sebagai mengelirukan kerana kawasan terbabit bukan sebuah kampung yang pernah diwartakan secara rasmi, kata Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Matunggong, Alexyus Matius.

Beliau berkata, tindakan pihak tertentu termasuk individu yang mengaku sebagai Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam isu tanah kerajaan di kawasan berkenaan hanya mengeruhkan keadaan tanpa memahami fakta sebenar serta sejarah tanah terbabit.

Menurutnya, kawasan tersebut sememangnya telah lama diketahui sebagai tanah kerajaan yang diwartakan untuk tujuan pembangunan Matunggong pada masa hadapan dan bukannya kawasan penempatan kampung yang sah.

Saya secara peribadi menyokong tindakan pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan terhadap pondok-pondok yang dibina secara tidak sah di kawasan berkenaan demi memastikan undang-undang dan peraturan tanah kerajaan dipatuhi.

“Sebagai anak watan Matunggong, saya merasakan tanggungjawab untuk tampil menjelaskan perkara ini berdasarkan fakta sebenar di lapangan. Ia bukan soal mempertahankan mana-mana pihak, tetapi memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat dan tidak terpengaruh dengan naratif yang mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Alexyus berkata, penduduk di kampung berhampiran seperti Kampung Tuid, Kampung Hobut dan Kampung Sumangkap memahami sejarah serta status sebenar kawasan berkenaan yang sememangnya milik kerajaan dan bukannya tanah adat persendirian seperti didakwa pihak tertentu.

Beliau percaya isu itu tidak akan menjadi semakin tegang sekiranya tiada campur tangan pihak luar yang tidak memahami latar belakang serta fakta sebenar berkaitan kawasan terbabit.

Mengulas penglibatan pihak yang dikatakan terdiri daripada mahasiswa UMS, beliau berkata golongan intelektual seharusnya mendapatkan fakta tepat terlebih dahulu dan merujuk kepada pihak berwajib sebelum membuat kenyataan atau tindakan yang boleh mengelirukan masyarakat.

“Mahasiswa seharusnya memainkan peranan sebagai penyampai maklumat yang berasaskan fakta, profesional dan bertanggungjawab, bukannya mudah terpengaruh dengan naratif pihak tertentu tanpa memahami sejarah serta kedudukan sebenar sesuatu isu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki, sudah tentu memahami sejarah, status dan kedudukan sebenar tanah berkenaan sebagai wakil rakyat kawasan.

Katanya, semua pihak disaran supaya tidak terus membuat tuduhan atau memainkan sentimen tertentu bagi tujuan politik dan provokasi sehingga boleh mengelirukan masyarakat setempat serta menjejaskan keharmonian kawasan.

Beliau turut berharap penyebaran fitnah, provokasi dan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat dihentikan serta semua pihak menghormati proses undang-undang demi menjaga kepentingan pembangunan dan kestabilan Matunggong pada masa hadapan.