Bomba Redah Bukit, Sungai untuk Selamatkan Mangsa Terkandas Arus Deras di Kota...

Bomba Redah Bukit, Sungai untuk Selamatkan Mangsa Terkandas Arus Deras di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa meredah laluan berbukit, curam serta menyusuri sungai sejauh kira-kira lima kilometer bagi menyelamatkan lima individu yang terkandas akibat arus deras di Kampung Melangkap dekat sini sejak semalam.

Dalam operasi mencabar yang berlangsung sehingga awal pagi itu, anggota bomba turut berdepan kesukaran komunikasi susulan ketiadaan liputan GIRN dan talian telefon selain lampu suluh pasukan yang kehabisan cas ketika operasi mencari dijalankan.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 4.48 petang Rabu sebelum sepasukan lapan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 35 kilometer.

“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 6.33 petang, didapati benar terdapat lima mangsa dalam keadaan selamat namun tidak dapat menyeberangi sungai berikutan arus deras.

Pasukan bomba kemudian bertindak menyusuri tebing sungai dan berjaya menemui kesemua mangsa pada jam 12.45 tengah malam kira-kira lima kilometer dari jalan utama,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi menyelamat menjadi lebih sukar berikutan laluan menuju lokasi mangsa yang berbukit dan curam selain faktor cuaca serta keadaan gelap.

Beliau berkata, semua mangsa berjaya dibawa keluar ke kawasan selamat bermula jam 5.50 pagi dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi diketuai PBK II Hamizan Amirul selaku Komander Operasi dengan bantuan lapan anggota menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Vigo.