PENAMPANG, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan semua PBT di seluruh negeri supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika musim hujan ini.
“Pastikan semua longkang dibersihkan. Jangan tunggu hujan baru ambil tindakan.
“Kita perlu mitigasi dan perlu bersiap sedia sepanjang masa,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat perlindungan sementara Pusat Kebudayaan Penampang di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri dan Persekutuan amat prihatin terhadap mereka yang terjejas akibat banjir kilat dan akan membantu semua mangsa.
“Kerajaan negeri bersimpati dengan nasib mereka jadi kami bersedia memberi bantuan tunai kecemasan RM1,000 kepada setiap keluarga di Pusat Kebudayaan Penampang.
“Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick yang merupakan Ahli Parlimen Penampang juga akan menghulurkan bantuan,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan untuk membantu mereka yang tidak dipindahkan ke pusat perlindungan sementara tetapi rumah mereka rosak teruk akibat banjir.
Terdahulu, Pegawai Daerah Francis Chong memberi taklimat kepada Ketua Menteri bahawa pada masa ini terdapat 67 keluarga membabitkan 165 yang berteduh di pusat perlindungan sementara itu sejak ia diaktifkan pada 5.25 petang Ahad.
Beliau juga dimaklumkan bahawa 11 kampung di sekitar daerah Penampang ditenggelami air akibat hujan lebat pada Ahad.
Satu nyawa terkorban membabitkan seorang wanita yang dihanyutkan arus deras berhampiran bulatan di Donggongon ketika banjir kilat.
Kemudian, Hajiji diiringi Ewon, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Awang Shaminan Sahari meninjau situasi banjir di Kampung Tuavon dan Hungab.